Reman Shafie disambung 4 hari


Shafie dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu semalam untuk disambung reman selama empat hari bermula hari ini.


KOTA KINABALU – Mahkamah Majistret di sini semalam membenarkan permohonan lanjutan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal selama empat hari bermula hari ini.

Majistret Cindy Mc Juse Balitus membenarkan lanjutan reman tersebut bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atas bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu.

Shafie direman berhubung penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion­ yang disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk memba­ngunkan Sabah antara tahun 2009 hingga 2015.

Bekas Naib Presiden UMNO itu ditahan pada 19 Oktober lalu itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Faliq Basiruddin, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rozanna Abd. Hadi dan Rustam Anip manakala Ahli Parlimen Semporna itu diwakili enam peguam diketuai Martin Tommy.

Terdahulu dalam prosi­ding berasingan, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Shafie untuk menyemak semula keputusan reman Mahkamah Majistret bagi kes yang sama pada Jumaat yang lalu.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.