Sindiket manipulasi nama LHDNM


Sampel e-mel dan dokumen palsu sindiket.


KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengesan beberapa taktik sindiket yang menggunakan nama dan logo LHDNM untuk menipu orang ramai khususnya pembayar cukai.

Menurut satu kenyataan LHDNM, sindiket tersebut menggunakan modus operandi dengan menghantar e-mel palsu kepada penerima kononnya mereka mempunyai amaun cukai terlebih bayar yang perlu dipulangkan oleh LHDNM.

“Menerusi e-mel palsu tersebut, penyangak kewangan ini akan memberikan arahan kepada penerima e-mel agar mendedahkan butiran akaun bank mereka bagi membolehkan transaksi bayaran balik lebihan cukai dibuat oleh LHDNM,” kata kenyataan itu semalam.

Kenyataan itu menegaskan, LHDNM tidak pernah menghantar e-mel kepada pembayar cukai untuk meminta pembayar cukai mendedahkan nombor akaun bank mereka.

Ini kerana maklumat akaun bank akan diperoleh melalui perisytiharan oleh pembayar cukai ketika mereka mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan pada setiap tahun.

“Selain itu, lebihan bayaran balik cukai pendapatan yang berjaya diproses berdasarkan maklumat yang betul juga akan dikreditkan terus oleh LHDNM ke akaun bank pembayar cukai menerusi pembayaran secara Electronic Fund Transfer atau menerusi Baucar Bayaran Balik Cukai atau Cek Berpalang atau Telegraphic Transfer,” kata kenyataan itu lagi.

Antara kaedah lain yang digunakan sindiket ialah dengan menghantar surat tuntutan cukai tertunggak yang palsu kepada orang ramai.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.