Sandro puas kerja keras berbaloi


SANDRO (dua dari kanan) menjaringkan kedua-dua gol ketika membantu Kedah menewaskan Felda United 2-0 pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Alor Setar Sabtu lalu.


PEMAIN import Kedah, Sandro Da Silva berpuas hati kerana kerja kerasnya selama ini berbalas apabila berjaya membantu skuad Helang Merah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini.

Sandro muncul wira apabila menyumbang dua gol kemenangan buat Helang Merah ketika melayan kunjungan Felda United dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar Sabtu lalu.

Pemain dari Brazil itu berkata, beliau gembira kerana sekali lagi dapat beraksi pada perlawanan akhir selepas membantu pasukan pada tahun 2015 yang menyaksikan Kedah tewas kepada Selangor.

“Pada final tahun lalu pula, saya tidak dapat beraksi kerana dibelenggu kece–deraan.

“Peluang untuk membantu pasukan pada final kali ini akan saya gunakan sebaiknya demi memastikan Kedah terus menjulang Piala Malaysia,” katanya.

Menurut Sandro, beliau bekerja keras untuk memastikan prestasinya terus meningkat dan ia dibuktikan dengan kejayaannya menyumbangkan dua gol kemenangan buat pasukan.

“Saya akui ramai yang mempertikaikan keupayaan berdasarkan umur (34 tahun) tetapi dari hari ke hari saya berjaya buktikan bahawa usia hanya sekadar angka,” ujarnya.

Mengenai perlawanan menentang Felda United Sabtu lalu, kata beliau, rakan sepasukannya berjaya mempamerkan aksi terbaik walaupun bermain tanpa tiga tonggak iaitu Ken Ilso Larsen, Liridon Krasniqi dan Khairul Helmi Johari.

“Tiga tonggak itu sangat penting dalam pasukan, bagaimanapun pemain tempatan telah membuktikan mereka juga mampu memberikan aksi terbaik dengan memberikan fokus dan komitmen 100 peratus sepanjang perlawanan,” tambahnya.