Siti Nurhaliza terima darjah SSAP bawa gelaran Datuk Seri

24/10/2017 11:39am


Siti Nurhaliza menerima darjah kebesaran daripada pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.


PEKAN - Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin merupakan antara 101 penerima yang dianugerahkan darjah kebesaran dan pingat  sempena ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, di sini, hari ini.

Pelantun lagu Segala Perasaan itu merupakan antara 28 penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima SSAP ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia , Datuk Jailani Johari, Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Rahman Md Yunos, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Ramlan Ibrahim dan Pengerusi Eksekutif Blackstone Dagangan Sdn. Bhd. Datuk Idris Md. Yusof.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif THSB Services Sdn. Bhd. Datuk Mohd. Azwan Abdul Malik merupakan satu-satunya penerima Darjah Seri Indera Mahkota Pahang (SIMP) membawa gelaran Datuk Indera.

Pereka fesyen terkemuka juga Ketua Pengarah Eksekutif Jovian Mandagie Sdn. Bhd., Jovian Mandagie merupakan antara 13 individu yang dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Pengarah Besar Felda, Ab. Ghani Mohd. Ali dan Pengarah Kanan Pusat Kepimpinan Akademik Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Nazri Muhamad Ludin.

Dalam pada itu, seramai 59 penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk termasuk Ketua Maktab Koperasi Malaysia, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Pahang, Ir. Azman Ab. Majid dan Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Perdana Menteri, Shahruddin Abu Sohot.- K! ONLINE