Dua aktivis PPIM Yusof Azmi, Ali didakwa buat khianat, menceroboh stor kereta

24/10/2017 12:20pm


Yusof dan Ali tiba tiba di Mahkamah Kajang hari ini.


KAJANG - Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Muhamad Yusuf Azmi dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM, Ali Salimin didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan melakukan khianat dan pencerobohan sebuah stor kereta di sini Julai lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh yang masing-masjng berusia 27 dan 50 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Bagi pertuduhan pertama kedua-dua tertuduh didakwa niat bersama telah melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13 di sini pukul 3.30 petang pada 10 Julai lalu.

Berikutan itu kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah pada tempat dan tarikh sama antara pukul 3.30 petang hingga 7.30 malam.

Pertuduhan kedua itu kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - K! ONLINE