2,814 unit Honda HR-V Malaysia dipanggil balik

24/10/2017 3:50pm


Honda HR-V


KUALA LUMPUR - Honda Malaysia Sdn. Bhd. sedang memanggil balik 2,814 unit model HR-V keluaran tahun 2016 berikutan bar penstabil hadapan kenderaan tersebut berpotensi untuk rosak jika menerima tekanan tinggi.

Honda Malaysia dalam satu kenyataan hari ini, berkata, semua pelanggan yang terlibat akan dimaklumkan melalui surat, yang akan mengandungi butir-butir penarikan balik.

Katanya, kawalan suhu yang tidak sesuai semasa proses pembuatan mungkin menjadi punca yang menyebabkan kekuatan bar penstabil itu terjejas.

Kerosakan pada bar penstabil akan menyebabkan roda menjadi tidak seimbang, mengakibatkan kereta boleh terbuai ke kiri atau ke kanan semasa dalam pemanduan.

"Sehingga hari ini, belum ada kemalangan atau kecederaan yang berkaitan dengan isu ini dilaporkan di Malaysia.

"Honda Malaysia mengambil langkah awal, bagi memastikan keselamatan pelanggan terjamin dan melahirkan rasa kesal berikutan kesukaran yang bakal dihadapi mereka," katanya.

Semua bar penstabil hadapan yang terjejas akan diganti dengan alat ganti yang lebih berkualiti. Honda Malaysia akan menanggung kos gantian, tenaga buruh dan caj-caj yang berkaitan dengan program panggil balik.

Pemilik-pemilik kenderaan boleh menyemak status panggilan balik kenderaan mereka melalui www.honda.com.my, atau www.productrecall.honda.com.my, atau menelefon talian tol bebas Honda pada 1-800-88-2020. - Bernama