Indeks jenayah di Melaka catat penurunan

24/10/2017 3:58pm


ABD. JALIL


MELAKA - Indeks kadar jenayah di negeri ini mencatatkan penurunan sebanyak 16 peratus sejak awal Januari hingga 23 Oktober 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan berkata, berdasarkan statistik sebanyak 2,890 kes direkod pada tahun lalu, menurun kepada 2,439 kes tahun ini yang kebanyakannya melibatkan jenayah ragut dan curi motosikal.

Menurutnya, bagi statistik indeks jenayah membabitkan pelancong di negeri ini, sebanyak 34 kes dicatatkan sepanjang tempoh Januari hingga Ogos 2017 dengan penurunan sebanyak 10.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Ia melibatkan sebanyak 27 kes jenayah kekerasan seperti samun berkawan tanpa senjata api dan samun tanpa senjatapi manakala tujuh kes lagi membabitkan jenayah harta benda seperti curi serta ragut.

"Pihak polis juga sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan tumpuan ramai khususnya di kawasan Melaka Tengah yang menjadi tumpuan para pelancong berkunjung ke negeri," katanya ketika ditemui selepas perhimpunan bulanan Polis Kontinjen Melaka, di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Abd. Jalil berkata, langkah itu termasuk penubuhan unit polis pelancong berbasikal yang dilancarkan sejak Mei lalu yang melakukan rondaan di kawasan tumpuan pelancongan terutamanya pada Jumaat hingga Ahad selain waktu cuti am dan musim cuti persekolahan.

"Ini juga untuk memastikan usaha pencegahan jenayah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan sekali gus meningkatkan tahap keyakinan pengunjung y sesuai dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Melaka sebagai negeri yang paling selamat didiami dan dilawati," katanya.

Pada majlis itu, Polis Melaka turut menerima 20 unit basikal sumbangan Syarikat OFO Malaysia untuk kegunaan Unit Polis Pelancong Melaka Tengah. - K! ONLINE