Zulfadzli cipta aplikasi 'Runner' bantu usahawan Sarawak

24/10/2017 4:36pm


Sebelum ini Zulfadzli mencipta aplikasi 'Buku Teks Digital' yang mampu mengurangkan kebergantungan kepada buku teks fizikal kepada pelajar-pelajar sekolah dalam era digital. (Gambar fail)


KUCHING - Pembangun aplikasi muda, Ahmad Zulfadzli Khamidi sekali lagi menunjukkan bakat melalui satu lagi aplikasinya, dikenali sebagai 'Runner' yang dibangunkan untuk kemudahan usahawan kecil di Sarawak memasarkan produk mereka.

Kali ini remaja berusia 13 itu berkolaborasi bersama ibunya Norhasyimah Ahmad Merrican, 38, dalam menghasilkan aplikasi tersebut yang turut mendapat perhatian apabila terpilih ke suku akhir pertandingan SUPERB Walk-In Bizpitch @ Motonation 2017.

Bercakap kepada Bernama, Norhasyimah berkata mereka dimaklumkan layak ke pusingan itu bersama empat lagi peserta dari negeri ini semalam (23 Oktober).

"Pusingan suku akhir ini akan diadakan pada 3 November depan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Cyberjaya. Namun begitu kami berdua masih memikirkan sama ada untuk pergi atau tidak kerana beberapa faktor seperti kewangan dan sebagainya," katanya.

Pertandingan anjuran Unit Pemandu Agenda Bumiputera (TERAJU) di Jabatan Perdana Menteri dan Procara Entertainment Sdn Bhd itu bertujuan mencari idea kreatif dan inovatif berkaitan dengan sektor automotif.

Ketika ditanya bagaimana aplikasiitu akan berfungsi, Ahmad Zulfadzli berkata setiap usahawan yang ingin melakukan hantaran barang jualan mereka boleh memaklumkannya kepada 'runner'.

"Fungsi aplikasiini seakan Uber atau Grab, setiap usahawan yang ingin menghantar barangan jualan mereka akan memaklumkannya dalam aplikasitersebut, jadi jika ada 'runner' berhampiran, dia boleh melakukan penghantaran tersebut.

"Aplikasi ini untuk penghantaran apa sahaja barangan seperti produk cecair, minuman malahan batu dan kayu pun boleh asalkan 'runner' berkemampuan menghantarnya," katanya yang dijadualkan untuk bertemu dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg Khamis ini.

Pada Ahad, Bernamamelaporkan kejayaan remaja itu membangunkan aplikasibuku teks digital untuk mengurangkan kebergantungan kepada buku teks fizikal dalam era digital ketika ini. - Bernama