JPJ beri amaran kepada pengguna jalan raya gemar guna gajet semasa memandu

24/10/2017 4:45pm


trend pengguna jalan raya menggunakan gajet ketika di atas jalan raya amat membimbangkan ketika ini. - Gambar fail


KANGAR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bukan sahaja memantau kenderaan yang tidak menepati spesifikasi jabatan itu, malah turut memfokuskan kepada pemandu yang menggunakan gajet semasa memandu.

Pengarah Bahagian Kejuruteraan Automotif JPJ, Prof Datuk Ir Mohamad Dalib berkata menggunakan gajet semasa memandu merupakan satu daripada punca utama kemalangan kebelakangan ini dan pemandu terbabit boleh didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ).

"Kebanyakan kemalangan disebabkan kecuaian pemandu...jadi saya nak ingatkan semua pemandu tidak kira sesiapa pun yang rajin memandu sambil guna gajet, JPJ boleh tahan dan saman anda.

"Penggunaan gajet untuk pandu arah jalan dibenarkan, cuma tidak boleh dipegang dan perlu guna peranti bebas tangan dan tidak boleh halang 170 darjah pemandangan pemandu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Pemakaian Logo Kejuruteraan Automatif JPJ Perlis di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pemandu persendirian serta komersial agar mematuhi spesifikasi dan setiap undang-undang ditetapkan bagi memastikan kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan selamat sekali gus mengelakkan kemalangan.

"Setiap kenderaan perlu utamakan keselamatan dan JPJ tidak pernah bosan memberikan tips dan panduan mengenai kawalan serta penjagaan kenderaan," katanya. - Bernama