JPJ nafi terlibat dalam program Karnival Maal Hijrah di Shah Alam, Jumaat ini

24/10/2017 6:19pm


Mesej yang menyatakan penglibatan JPJ pada program tersebut telah tular dalam laman WhatsApp sejak minggu lalu.


SHAH ALAM - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menafikan pihaknya terlibat dalam program Karnival Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini Jumaat ini seperti yang tular melalui aplikasi WhatsApp sejak minggu lalu.

Pengarah JPJ negeri, Nazli Md. Taib berkata, pada hari berkenaan pihaknya hanya terlibat dengan program Hari Bertemu Pelanggan peringkat daerah Klang di Dewan Serbaguna, Pejabat Daerah, Tanah Klang sahaja.

"Kita menafikan pembabitan dalam program karnival di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Jumaat ini seperti yang ditularkan melalui Whatsapp, sejak minggu lalu.

"Sehubungan itu, orang amai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai sebarang maklumat daripada sumber yang tidak sahih mengenai jabatan ini yang disebarkan,"katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kandungan mesej itu menyatakan JPJ menawarkan pembaharuan cukai jalan motosikal tanpa perlu membawa geran tanpa membawa motosikal dan pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) walaupun tamat tempoh sejak lima tahun lalu.

Selain itu, ia menyatakan orang ramai boleh membayar saman dan memohon diskaun pada karnival berkenaan.

Nazli dalam pada itu menasihati orang ramai supaya merujuk terus kepada Unit Komunikasi Korporat JPJ Selangor di talian 03-55669407 jika terdapat sebarang keraguan maklumat mengenai jabatan tersebut.

"Kita berharap orang ramai tidak turut serta menyebarkan maklumat palsu tanpa kesahihan terlebih dahulu," ujarnya. - K! ONLINE