Kren tumbang: Tabung Haji akan dapatkan kenyataan rasmi kerajaan Arab Saudi

24/10/2017 6:39pm


Tragedi kren tumbang pada 2015 ini mengorbankan 180 jemaah haji maut.


PUTRAJAYA - Kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji akan mendapatkan kenyataan rasmi kerajaan Arab Saudi lanjutan daripada keputusan Mahkamah Agung Arab Saudi berhubung insiden kren runtuh di Masjidil Haram pada 2015, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

"Kerajaan akan memaklumkan kepada waris-waris jemaah apabila menerima kenyataan (kerajaan Arab Saudi) itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jamil Khir, Lembaga Tabung Haji dimaklumkan melalui laporan media Arab Saudi (Saudi Gazette) bahawa Mahkamah Agung Arab Saudi telah memutuskan insiden kren runtuh itu bukan disebabkan kecuaian manusia.

Dengan keputusan sedemikian, syarikat pembinaan yang terlibat tidak perlu membayar sebarang bayaran diyyah (ganti rugi) kepada waris atau mangsa insiden tersebut.

Dalam kejadian pada 11 Sept 2015, kren yang digunakan untuk projek peluasan Masjidil Haram tumbang menyebabkan 180 jemaah haji maut manakala 238 cedera. - Bernama