Kemalangan bas kilang: Mangsa sempat telefon anak minta bantuan

24/10/2017 6:53pm


Norasyikin memujuk adiknya, Zarul Haziq semasa menunggu jenazah ibu mereka, Noriah Kasa di Unit Ferensik, Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang di sini hari ini.


BUKIT MERTAJAM - Noriah Kasa, 40, mangsa yang maut dalam kemalangan bas kilang di Juru hari ini, sempat menelefon anak sulungnya dan meminta tolong sejurus selepas kemalangan di Km 147 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara berhampiran Plaza Tol Juru, di sini.

Muhammad Shahsalzuan Zainal Abidin, 30, berkata ibu saudaranya itu menelefon Norasyikin Zuryanidufizan, 22, memberitahu beliau tersepit dalam kemalangan itu.

Noriah adalah antara lapan pekerja wanita yang maut dalam kemalangan membabitkan dua bas kilang dan sebuah van kilang pada 5.30 pagi ini.

Dalam kemalangan itu, bas yang membawa pekerja kilang Sony terdiri daripada warga Indonesia dan Nepal telah berhenti di lorong kiri kerana mengalami kerosakan enjin sebelum dilanggar bas membawa pekerja tempatan dari Parit Buntar untuk ke kilang di Bayan Lepas.

Sementara itu menceritakan lanjut mengenai panggilan terakhir itu, Mohd Sabri Azhar, 23, iaitu tunang kepada Norasyikin, berkata ketika mendapat panggilan telefon itu, Norasyikin yang menaiki van untuk ke tempat kerja terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

"Syikin tolong ibu...tolong ibu...sebelum panggilan terputus," cerita Mohd Sabri yang turut berada di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, dekat sini.

Terdahulu Zarul Haziq Zuryanidufizan, 12, yang merupakan anak bongsu Noriah, berkata kali terakhir dia bertemu ibunya ialah pada Sabtu lepas ketika Noriah datang melawatnya di Madrasah Darul Furqan Sungai Rusa, di Balik Pulau.

"Ibu ada bawakan stok makanan untuk saya. Masa jumpa hari tu ibu tak ada tunjuk apa-apa perubahan. Ibu hanya pesan jaga diri baik-baik...saya akan baca surah Yasin dan al-Fatihah hari-hari untuk ibu," kata anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Beliau berkata ibunya yang mahu dia belajar di sekolah tahfiz itu dan kini dia telah menghafaz dua juzuk al-Quran selepas 10 bulan bersekolah di situ.

"Sebelum ini saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Permatang Gerdung, Bagan Serai, Perak. Ibu yang nak saya sekolah di sekolah tahfiz, saya hanya kata ok pada ibu," katanya.

Ditanya apa yang paling dirindui tentang ibunya, Zarul Haziq berkata beliau paling merindui masakan ibunya iaitu ikan patin masak tempoyak.

Jenazah Noriah telah dibawa pulang ke Bagan Serai, Perak untuk dikebumikan di sana. - Bernama