JK1M bantu peserta turun berat badan


SENAMAN berpasukan melonjakkan semangat peserta dan memberi lebih keseronokan.


MENYIMPAN hasrat untuk menurunkan berat badan, kekal cergas serta sihat membuatkan Mohamad Hafiz Mohamad Ramly, 27, menyertai Jom Kurus 1Malaysia (JK1M) pada September lalu.

“Saya pernah mencuba diet Atkins dan ia memang berhasil untuk turunkan berat badan tetapi sukar untuk mengekalkan berat ideal sekiranya mengambil karbohidrat kerana badan akan naik mendadak.

“Isteri mencadangkan agar saya mengikuti program JK1M memandangkan dia juga pernah menyertainya sebelum ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada program JK1M di Presint 4, Putrajaya baru-baru ini.

Ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu, sebelum ini, dia mempunyai berat badan 105 kilogram (kg) dengan ketinggian 180 sentimeter.

Selepas lima minggu mengikut pelbagai aktiviti kecergasan, Mohamad Hafiz berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 8kg.

Dia yang mengikuti JK1M bagi kawasan Cyberjaya dan Putrajaya, mengakui sangat bersemangat dan seronok kerana dapat melakukan aktiviti bersama rakan-rakan.

“Di sini saya berjumpa ramai kawan baharu dan semangat untuk kurus juga berkobar-kobar kerana masing-masing memberi sokongan.

“Sokongan kumpulan ini sangat penting untuk kita kekal berdisiplin dan tidak berputus asa untuk mencapai misi ini,” terangnya yang gemar bermain badminton pada masa lapang.

Selain itu, dia juga berpeluang menyertai pelbagai pertandingan seperti dodgeball, bola baling, badminton, bola jaring, bola tampar, pingpong, sukaneka dan boling di bawah kelolaan JK1M yang dikenali sebagai Ohlimpik.

Akui Mohamad Hafiz, program tersebut banyak memberi perubahan dalam hidupnya. Dia berasa lebih cergas dan segar setiap kali bangun tidur.

Walaupun program itu sudah tamat tetapi ahli kumpulan tersebut aktif mengadakan pelbagai aktiviti kecergasan pada masa lapang.

Seorang lagi peserta JK1M, Nur Azurainy Shohar, 37, memberitahu, dia seronok dan berasa tidak berseorangan kerana mempunyai kawan-kawan yang mempunyai masalah sama.

“Sebelum ini, saya kurang bersemangat untuk berdiet dan bersenam.

Jurulatih


SERAMAI 55 orang menyertai JK1M di bawah tunjuk ajar Mohamad Ashraf.


“Selain rakan-rakan yang banyak membantu, jurulatih juga memainkan peranan penting dengan memberikan nasihat dan tunjuk ajar agar melakukan rutin tersebut dengan betul.

“Saya akan pastikan mengambil makanan tidak melebihi 1,400 kalori sehari,” tuturnya.

Disiplin dan kesungguhan ibu kepada dua orang cahaya mata itu membuahkan hasil apabila dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 6kg.

Ujar jurutera awam itu, dia menyasarkan untuk menurunkan berat badan sehingga 20kg.

Sementara itu, jurulatih kecergasan JK1M bagi kawasan Cyberjaya dan Putrajaya, Mohamad Ashraf Hashim berkata, program tersebut merupakan permulaan untuk mereka menurunkan berat badan dan meningkatkan kecergasan.

“Modul JK1M tidaklah terlalu berat kerana kami ingin peserta melakukannya dengan seronok dan tidak terlalu tertekan.

“Saya sangat menekankan disiplin pemakanan dan kepentingan diet yang baik,”

“Paling penting adalah semangat ukhuwah yang terbina antara mereka,” terangnya yang berpengalaman tujuh tahun sebagai jurulatih kecergasan.

Bagi musim kesembilan ini, seramai 55 orang peserta yang berumur 18 hingga 57 tahun telah mendapat tunjuk ajar daripada Mohamad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Coach Cem.

Program tersebut berlangsung selama enam minggu dan tiga kali dalam seminggu peserta akan melakukan senaman serta aktiviti kecergasan.

Timbang

Tambahnya, setiap minggu akan ada timbangan dan peserta wajib turun 1kg.

Sekiranya gagal maka, mereka perlu membayar denda RM10 dan duit tersebut akan digunakan untuk majlis penutup program itu.

Coach Cem memberitahu, perubahan paling ketara ialah kecergasan para peserta semakin meningkat saban hari dan jika berat badan turun ia merupakan bonus kepada mereka.

Berkongsi tip pemakanan sihat, Coach Cem berkata, setiap orang hendaklah menjaga kalori iaitu dengan mengambil kira kuantiti dan kualiti makanan.

“Waktu makan hendaklah betul iaitu lima hingga enam kali sehari. Pastikan air dan serat mencukupi.

“Begitu juga tidur kerana bagi wanita dan lelaki dewasa mereka memerlukan enam hingga tujuh jam sehari,” jelasnya yang juga merupakan jurulatih kecergasan untuk Akademi Fantasia.