Strategi, sasaran Lia Natalia

TURUN NAIK - Tujuh tahun bergelar anak seni, Lia Natalia kini boleh menarik nafas lega kerana pengorbanannya selama ini telah menunjukkan hasil.


PERNAH tiada tawaran lakonan dan berusaha sendiri membina nama dalam industri, itu antara perjalanan perit dan sepak terajang yang dilalui pelakon Lia Natalia sepanjang tujuh tahun kelananya di daerah seni.

Pelakon yang mula membina nama menerusi program realiti Pilih Kasih itu mengakui, dunia yang dipilihnya tidak mudah menjanjikan pulangan meskipun dicanang dengan kerlipan kemewahan dan populariti.

Apa yang dikecapinya berbeza, dia terpaksa bekerja keras mencari tawaran kerja dengan usaha sendiri memandangkan pada awal penglibatannya, kemudahan dan penggunaan media sosial tidak seperti sekarang. Faktor populariti turut menjadi cabaran besar buat Lia.

“Sejurus tamat program Pilih Kasih tujuh tahun lalu, saya akui memang sukar untuk mendapatkan kerja. Saya masih ingat, pada waktu itu tiada siapa pun kenal saya dan beberapa rakan artis seangkatan seperti Zulin Aziz dan Cristina Suzanne.

“Bagaimanapun, itu semua sebahagian daripada kitaran hidup yang membuatkan saya sentiasa yakin bahawa rezeki ada di mana-mana asalkan berusaha.

“Keluarga juga sangat menyokong walaupun pada waktu itu langsung tidak ada tawaran kerja. Tidak pernah keluar nasihat agar berhenti daripada mereka, sebaliknya keluargalah yang memberi kata-kata semangat supaya saya tidak putus asa,” ceritanya.

Bukan sekadar tiada tawaran, antara cabaran besar yang harus ditelan pelakon berusia 25 tahun itu adalah dia pernah ditipu sehingga tidak mendapat wang bayaran atas kerja yang dilakukan.

“Dahulu saya bergerak sendiri dan tidak ada pengurus. Jadi, saya sering berdepan dengan isu produksi tidak membayar gaji. Jumlahnya juga bukan sedikit tetapi mencecah sehingga puluhan ribu ringgit.

“Bukannya tidak pernah menuntut bayaran, tetapi disebabkan beberapa kekangan dari segi dokumen dan sebagainya, saya redakan saja. Kejadian seperti itu memberi pengajaran supaya saya lebih berhati-hati pada masa akan datang selain menganggap ia salah satu daripada proses pembelajaran untuk mengenali dunia seni yang dilihat bukan semudah dan sehebat disangka,” tuturnya penuh makna.

Cedera

Kini, wanita kelahiran Sabah itu boleh berasa lega kerana graf pendakian kariernya menunjukkan perkembangan yang baik apabila tawaran lakonan tidak pernah putus.

Bakal muncul dengan beberapa buah filem termasuk Pinjamkan Hatiku dalam masa terdekat, Lia berkongsi mengenai peranan dan pengalamannya sepanjang menjalani penggambaran filem arahan Osman Ali itu.

Katanya, berlaku banyak kecelakaan kepada beberapa orang pelakon dan kru termasuk dirinya yang mengalami kecederaan pada bahagian tulang belakang gara-gara terjatuh dari motosikal

“Kejadian berlaku sewaktu saya sedang melakukan babak membonceng motosikal yang ditunggang rakan pelakon di kawasan bukit. Tiba-tiba sahaja motosikal tersebut hilang kawalan dan saya pula tidak bersedia dan terus tercampak ke belakang,” ceritanya.

“Sewaktu mendapatkan rawatan di hospital, doktor memberitahu kedudukan tulang belakang saya sedikit lari tetapi ia tidaklah serius. Disebabkan insiden itu, saya diberi cuti oleh pengarah dan sekarang semuanya sudah okey.

“Teraju utama iaitu Ayda Jebat juga ada mengalami kecederaan selain seorang kru kami meninggal dunia. Terlalu banyak pengorbanan untuk filem ini, jadi saya harap pulangannya berbaloi dengan apa yang telah kami tempuhi,” tutur wanita itu penuh pengharapan.

Filem Pinjamkan Hati yang dibarisi pelakon popular seperti Shaheizy Sam, Farid Kamil dan Ayda Jebat bakal ditayangkan menjelang 30 November depan.

Dangdut

Menyedari industri seni sedang berkembang baik pada ketika ini dengan kehadiran ramai pendatang baharu, Lia Natalia tidak melepaskan peluang untuk mencuba nasib dalam bidang nyanyian pula.

Namun tegasnya, keputusan itu dilakukan bukan kerana trend pelakon bergelar penyanyi. Sebaliknya, dia hanya menggunakan peluang yang ada untuk meneroka sisi baharu agar tidak terlalu selesa dengan apa yang sedang dimilikinya ketika ini.

“Trend pelakon bergelar penyanyi bukan suatu masalah kerana ia adalah pilihan masing-masing. Selagi ada peluang untuk saya mencuba perkara baharu dalam hidup, mengapa tidak.

“Lagipun saya memang suka menyanyi sejak kecil lagi. Biarpun kebanyakan penyanyi sekarang memilih untuk menyanyikan lagu balada, tetapi saya pilih haluan berbeza untuk dangdut.

“Kalau diikutkan, di negara kita tidak ada penyanyi baharu yang menyambung legasi irama dangdut dengan serius. Jadi, saya bersedia mengisi kekosongan tersebut dengan perjuangan dangdut dalam single sulung nanti,” katanya ceria.

Bukan sekadar mahu memecah tembok kariernya, Lia Natalia turut menyasarkan pasaran muzik negara jiran iaitu Indonesia, sementelah irama dangdut sememangnya menjadi pilihan peminat negara republik tersebut.

“Bukanlah mahu menidakkan pasaran muzik tanah air tetapi menyedari sambutan terhadap genre dangdut di sana sangat kuat, jadi ia memberi lebih keberanian untuk saya mencuba.

“Saya mahu mengikut jejak langkah rakan-rakan artis lain seperti Shiha Zikir yang telah berjaya membina nama di sana. Jika disertakan dengan usaha, sesiapa sahaja boleh melakukan perkara sama,” tutupnya mesra.