Aura positif Shiha Zikir

DUTA PRODUK - Shiha berbesar hati terpilih sebagai duta produk Airish London, apatah lagi majlis pelantikannya baru-baru ini turut disempurnakan oleh Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Sultan Sir Abu Bakar (dua dari kanan). Hadir sama, pengasas produk Airish London, Datin Jannatul Iza Ahmad (kiri) dan suami, Datuk Aizzudin Mohd. Ghazali (kanan sekali).


SEJAK menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya pilihannya sekitar 12 tahun lalu, kalimat putus asa tidak pernah hadir dalam kamus hidup penyanyi Shiha Zikir.

Bagi wanita kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu, walaupun laluan kariernya tidak seindah penyanyi seangkatan lain, namun cinta dan minatnya terhadap bidang muzik serta pentas nyanyian tidak pernah pudar.

“Saya tidak pernah penat memperbaiki diri untuk terus maju dalam bidang muzik.

“Sebagai individu yang cintakan bidang ini, saya cuba sedaya mungkin untuk bersikap rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan cakap-cakap orang mengenai kerjaya seni saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan klip video Jagakan Dia di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Shiha, sepanjang tempoh mencari rezeki sebagai pelantun suara, banyak sindiran dan kata-kata nakal yang diterima, terutama daripada individu penting dalam industri.

Situasi tersebut timbul memandangkan pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd. Zikir dilihat belum mencapai puncak kariernya walaupun telah beberapa kali melibatkan diri dalam pertandingan nyanyian.

“Saya sedar diri kerana kurang popular. Saya terima kenyataan tersebut dengan hati terbuka. Tetapi, apabila ramai yang bertanya, mengapakah saya tidak popular walaupun telah beberapa kali menyertai pertandingan nyanyian, saya jadi kecewa.

“Kehadiran saya dalam industri hanya untuk mencari rezeki. Jika populariti hadir seiring dengan kerjaya, saya anggap itu satu bonus,” ujar Shiha yang sebelum ini pernah menyertai pertandingan nyanyian seperti Akademi Fantasia musim ketiga, Mentor musim kelima dan terbaharu, D’Academy Asia 2015.

Sungguhpun sering dihujani kata-kata sinis, Shiha mengakui beruntung kerana masih ada penyanyi senior yang mahu memberikan bimbingan kepadanya.

“Saya kerap berhubung dengan penyanyi Misha Omar untuk bertanyakan pendapat, lebih-lebih lagi apabila timbul keraguan mengenai pemilihan sesebuah lagu sebagai single.

“Dia juga banyak memberikan sokongan ketika saya mengambil keputusan untuk bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label muzik,” katanya yang turut menamakan penyanyi Alyah dan Krisdayanti sebagai ‘guru kaunseling’ ketika memerlukan nasihat berkenaan bidang nyanyian.

Single

Bergerak bebas tanpa kongkongan syarikat rakaman, Shiha kini tampil dengan single terbaharu berjudul Jagakan Dia.

Menurut Shiha, single ciptaan sepenuhnya Ippo Hafiz itu disifatkan sebagai sebuah karya berharga yang bakal menjadi kayu pengukur terhadap kerjaya nyanyiannya selepas ini.

“Jagakan Dia merupakan single pertama yang dibikin mengikut kehendak sendiri tanpa campur tangan pihak lain. Menerusi single ini juga, saya berpeluang menentukan susunan muzik yang sesuai dan cara ia dipersembahkan

“Biarpun mungkin ada yang akan melabelkan saya sebagai cerewet, tetapi saya mahu lagu ini kedengaran besar supaya ia berbaloi dengan apa yang telah dilaburkan,” tutur Shiha.

Bercerita pula mengenai pembikinan klip video Jagakan Dia, Shiha menjelaskan jalan cerita yang ditampilkan Irwan Rauf selaku pengarah mirip dengan pengalaman pahit seorang kenalan baiknya suatu ketika dahulu.

Menerusi klip video yang turut dilakonkan oleh pelakon Saharul Ridzwan itu, Shiha membawakan watak sebagai wanita yang mengalami gangguan emosi akibat kehilangan anak dan suami.

“Saya sendiri agak terkejut apabila jalan cerita cadangan Irwan mirip dengan kisah sedih yang pernah dialami oleh sahabat baik sendiri.

“Bagaimanapun, setelah berjumpa dan berbincang dengan sahabat saya itu, dia akhirnya membenarkan kisahnya diangkat sebagai jalan cerita Jagakan Dia. Saya berasa sungguh terharu,” katanya lagi.

Mengenai pemilihan Saharul Ridzwan, Shiha berkata, pelakon yang pernah popular dengan drama Hati Perempuan itu sesuai untuk menjayakan watak suaminya dalam klip video tersebut.

“Saya menghantar mesej kepada Saharul di Instagram dan menerangkan tentang watak tersebut. Tanpa disangka, dia membalas mesej saya dan bersetuju untuk bekerjasama.

“Dia merupakan seorang pelakon yang baik dan sentiasa memberikan sepenuh komitmen terhadap kerjanya,” ujar Shiha sambil berharap agar lagu dan klip video Jagakan Dia mendapat tempat dalam kalangan peminat.

Duta

Berkongsi mengenai projek terbaharunya, Shiha merancang untuk terbang ke Jakarta, Indonesia dalam masa terdekat untuk sesi pemilihan lagu yang akan dipasarkan sebagai single perdananya di republik tersebut.

“Sebenarnya, lagu tersebut adalah lagu kemenangan ketika saya diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga pertandingan D’Academy Asia dua tahun lalu.

“Disebabkan saya tidak gemar dengan beberapa pilihan lagu yang dihantar sebelum ini, mereka meminta saya untuk terbang ke Jakarta dan memilih lagu yang dirasakan sesuai untuk dijadikan single,” katanya yang berharap agar peminat di Indonesia dapat bersabar menantikan kemunculan single tersebut.

Dalam perkembangan lain, Shiha turut dilantik sebagai duta jenama kosmetik popular, Airish London.

Melahirkan rasa teruja kerana bergelar jurucakap dan dapat mewakili salah satu rangkaian produk kecantikan tempatan, Shiha berkata, dia akan cuba untuk membawa nama Airish London ke peringkat yang lebih tinggi.

“Saya akan cuba sehabis baik untuk membawa nama Airish London dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Mudah-mudahan, kerjasama saya bersama Airish London dapat memberikan impak yang positif terhadap produk ini,” tutupnya.