Kartun sumber inspirasi Amy Nazira

WATAK kartun sering menjadi inspirasi Amy Nazira ketika berkarya.


Kartun genre seni visual semakin popular dalam kalangan masyarakat. Sama ada tua atau muda, kaya mahupun miskin, penduduk di bandar atau desa, seni itu dilihat dekat dengan jiwa mereka.

Tidak hairanlah, biarpun dikatakan telah bertapak sejak tahun 1930-an di Malaysia, kartun terus berkembang dan bertahan sehingga ke hari ini.

Jika sebelum ini, kartun sering diterbitkan di akhbar, majalah atau novel grafik, perkembangan semasa menyaksikan kartun turut diangkat menjadi animasi yang dipaparkan di kaca televisyen atau layar perak.

Apa yang pasti, kartun merupakan wadah yang mampu menterjemahkan idealisme si pengkarya dalam bentuk humor dan satira.

Tidak kurang juga, ada yang selesa menggunakan seni itu untuk melemparkan pandangan kritis terhadap isu-isu sosial dan situasi yang berlaku di sekeliling.

Keunikan dan keistimewaan kartun juga mendorong Wan Amy Nazira Abu Bakar, 28, untuk mengangkat seni itu sebagai elemen utama dalam karya-karyanya.

Mesra disapa Amy Nazira, gadis yang berasal dari Maran, Pahang itu memberitahu, dia sememangnya menggemari kartun sejak zaman kanak-kanak.

Mula bergelar pelukis sejak dua tahun lalu, Amy Nazira berkata, dia menggemari kartun kerana bersifat lebih bebas dan santai tetapi pada masa yang sama, ia berupaya menyampaikan mesej yang diinginkan.

“Berbanding lukisan potret yang lebih halus dan terperinci menyerupai manusia, kartun tidak mempunyai bentuk atau figura khusus.

“Justeru, pengkarya bebas bermain watak dan karakter kartun yang diinginkan mereka ketika berkarya.

“Macam saya, watak kartun wanita sering menjadi pilihan kerana ia dekat dengan jiwa dan diri saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Art Expo Malaysia Plus 2017 di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Karya terbaharu

Menerusi pameran yang bermula dari 12 hingga 15 Oktober itu, Amy Nazira mengetengahkan enam karya terbaharu yang bertajuk, My Space, My Playground.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Halus dari Universiti Teknologi Mara itu memberitahu, pemilihan tajuk tersebut adalah simbolik daripada perkataan bahasa Inggeris, Give Me Some Space.

“Sebagai manusia, adakalanya kita memerlukan masa dan ruang untuk melakukan apa sahaja perkara yang diinginkan.

“Itu yang saya terjemahkan menerusi karya-karya bertajuk Sleepy Head, Chill Out, Blues Girl, Living Diva, Lazy Day dan Still Waiting,” ujarnya yang memilih untuk berkolaborasi dengan G13 Gallery sempena ekspo tersebut.

Menurutnya, dia mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan karya yang menggabungkan lukisan, arang dan media campuran itu sebelum diterjemahkan di atas kanvas.

Katanya, semua karya itu diinspirasikan daripada pengalaman diri dan pemerhatian terhadap apa yang berlaku di sekeliling.

“Setiap karya adalah berbeza, namun intipatinya masih sama iaitu manusia yang memerlukan masa dan ruang untuk bersendirian. Jika diperhalusi, semua karya itu berkait rapat dengan kehidupan kita setiap hari, cuma sama ada kita menyedarinya atau tidak,” jelasnya.

Tambah Amy Nazira, dia berbangga kerana ia merupakan pameran solo pertamanya pada acara yang menghimpunkan pelbagai karya seni dari dalam dan luar negara itu.

“Ia bukan sahaja satu pengalaman baharu, malah satu penghormatan bagi saya kerana berupaya meletakkan karya setaraf dengan nama-nama besar pada ekspo ini,” katanya.

Sementara itu, Pengurus G13 Gallery, Kenny Teng berkata, selain Amy Nazira, pihaknya turut mengetengahkan karya tiga artis muda berbakat iaitu Alexandra Han, Nik Mohd Shazmie Nik Shairozi dan Khairudin Zainudin.

“Sepanjang empat hari ekspo ini, kami mengetengahkan seorang artis yang berbeza. Kesemua mereka pernah berkolobrasi dengan G13 Gallery dan sememangnya berbakat besar dalam industri seni tempatan,” katanya.