Zul Ariffin mahu penjelasan terperinci Zahirah

04/11/2017 3:01pm


Zul Ariffin inginkan penjelasan Zahirah (gambar kecil).


KUALA LUMPUR - Pelakon popular, Zul Ariffin enggan mengulas panjang mengenai pertikaian yang berlaku antara kakasihnya, Zahirah Macwilson dengan Kamal Adli serta Emma Maembong pada bulan lalu.

Menurut Zul, 31, dia menyifatkan perkara tersebut telah selesai tetapi masih berasa tidak puas hati dan ingin mengetahui punca masalah berkenaan berlaku.

Katanya, biarpun segalanya kelihatan seperti telah selesai tetapi, dia masih mengharapkan agar Zahirah dapat memberikan penjelasan lebih terperinci kepadanya.

"Saya senang apabila melihat perkara itu telah reda dan semuanya memberi penjelasan untuk membersihkan nama masing-masing. Tetapi, saya masih tidak mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku.

"Saya sendiri tertanya-tanya sama ada hal itu dicetuskan sempena projek baharu mereka atau meraih publisiti mahupun sekadar untuk mengeratkan hubungan sesama artis," katanya ketika ditemui Kosmo! di Anugerah Skrin 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Dalam pada itu, Zul juga enggan mengulas mengenai khabar angin mengatakan dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan Zahirah pada tahun depan.

"Tiada komen. Perkara itu lebih baik bertanyakan kepada bapa Zahirah sendiri," ujar Zul.

Zul dan Zahirah mula menjalin hubungan cinta sekitar setahun lalu selepas kedua-dunya membintangi drama rantaian Mr London Ms Langkawi pada 2015. - K! ONLINE