Tahniah Mawar dan Raf


MAWAR (kiri) dan tunangnya, Raf Yaakob.


SELEPAS sekian lama berteka-teki, pasangan bahagia, Mawar Rashid dan Raf Yaakob akhirnya sah bakal diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Khamis ini.

Ada yang memberitahu Diva, pasangan itu akan diraikan dengan penuh meriah dalam satu majlis yang bakal diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.

Kalau tak silap Diva, perkahwinan itu juga bertemakan Jawa tradisional. Mesti Mawar kelihatan jelita bersama Raf yang tampan. Bak kata orang tua-tua, ibarat pinang dibelah dua.

Sebelum ini, pernah timbul khabar angin bahawa pasangan yang dikenali dengan hashtag #MawaRaf itu bakal naik pelamin pada tahun ini juga selepas mengikat tali pertunangan pada 7 Julai lepas.

Cuma, baik Mawar waima Raf, kedua-duanya saling berahsia berhubung tarikh sebenar perkahwinan mereka sebelum ini. Mahu menjaga dan menghormati perasaan orang tua barangkali.

Diva cukup menyenangi pasangan ini yang sentiasa cool dan tidak melenting meskipun sering dikecam netizen yang seolah-olah kurang senang dengan keterbukaan mereka menunjukkan rasa cinta di laman Instagram.

Apapun, Diva ingin mengucapkan tahniah kepada Mawar dan Raf, semoga berbahagia hingga ke akhir hayat. Dengar-dengarnya, berbulan madu menaiki kereta api menuju ke Rusia, betul ke? Hehe.

Diva: Ada lagi pasangan selebriti yang dengar-dengarnya bakal bernikah tahun ini juga. Siapa? Ops, biarlah rahsia.