Impak aura rustik, hipster

TINGKAP kaca louvre dan kemasan jubin seramik pada lantai dan sebahagian dinding memberi ciri-ciri rustik.


BAGAI ada sesuatu mengusik jiwa saat kru Jurnal melewati Restoran 1957 Kopi + Makan yang terletak di De Centrum Mall, Kajang, Selangor.

Manakan tidak, dekorasinya sedikit sebanyak mengingatkan penulis tentang elemen seni bina rumah era 1980-an yang sememangnya memiliki daya tarikan tersendiri.

Ia dapat dilihat menerusi penataan jendela louvre kaca yang bertindak sebagai dinding pembahagi utama antara premis tersebut dengan ruang pusat beli-belah.

Selain itu, jubin seramik bercorak yang melitupi sebahagian kecil ruang lantai simen kelabu polos turut menyuntik ciri-ciri rustik kepada restoran berkenaan.

Eksekutif Operasinya, Edvelyn Lee berkata, konsep yang diketengahkan 1957 Kopi + Makan dizahirkan daripada elemen rustik dan hipster.

“Kami mahu menampilkan konsep ringkas, selesa, cantik dan bersesuaian dengan nama premis.

Lagipun, kebangkitan semula elemen lama yang membangkitkan nostalgia dalam hiasan dalaman agak trendy buat masa ini.

“Oleh itu, kami rasa ia sesuatu yang unik dan malar segar untuk dipertaruhkan dalam dekorasi premis,” katanya.


RESTORAN ini mampu memuatkan sehingga 110 orang pelanggan pada satu-satu masa.


Logo cahaya

Mendapat khidmat perunding hiasan dalaman, elemen kayu juga dapat dilihat mendominasi ruang menerusi penggunaan pintu, kerusi dan meja makan serta ruang simpanan barang sekali gus menyemarakkan ciri-ciri kedesaan.

Menyuntik kontradiksi kepada elemen kayu sudah tentulah lepaan simen polos yang memberi karakter industri secara minimum kepada kafe yang beroperasi sejak 31 Mei tahun lalu itu.

Apabila bercakap tentang kayu dan simen, rona coklat dan kelabu pasti bermain-main dalam minda dan itulah palet warna yang menjadi asas di 1957 Kopi + Makan.

Ia bagaimanapun diceriakan menerusi penataan kotak-kotak kayu beraneka warna di rak simpanan yang terletak di bahagian kaunter serta ruang barista.

Susunan kotak-kotak kayu itu bukan sahaja berfungsi sebagai tempat menyimpan perkakas dapur, malah turut menjadi feature wall yang bertindak sebagai titik tumpu ruang.

Di samping itu, pemilihan kerusi malas beraneka warna yang diletakkan di sudut lain restoran berkenaan juga memberi keceriaan kepada suasana premis.

Menyentuh soal pemilihan perabot, restoran berkenaan menyediakan beberapa jenis tempat duduk untuk pelanggan termasuklah susunan tempat duduk di meja bulat, meja panjang, meja dan kerusi berkaki tinggi serta meja serta kerusi santai.

Penataan perabot itu secara tidak langsung membantu memberi segmen berbeza mengikut kehendak pelanggan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuklah pelajar universiti, keluarga dan golongan korporat.

Perkara lain yang menarik tentang premis itu ialah logo restoran yang dipancarkan diod pemancar cahaya (LED) daripada projektor terus ke salah satu dinding.


MENU nasi kerabu ayam percik, ayam panggang dengan sos krim, pisang goreng bersama sos karamel, sos coklat dan keju menjadi antara hidangan signatur di 1957 Kopi + Makan.


Budaya makan

Bercerita tentang nama restoran, Edvelyn berkata, 1957 Kopi + Makan mendapat namanya daripada tahun negara mendapat kemerdekaan selain budaya sebahagian besar rakyat Malaysia yang gemar sesi melepak sambil minum kopi dan makan.

“Sedar atau tidak, sering kali perbualan kita dimulakan dengan pertanyaan sama ada sudah makan atau belum dan jom makan.

“Tambahan pula, kami menyajikan makanan serta minuman ala kopitiam yang cukup sinonim dengan rakyat Malaysia. Untuk itu, pemilihan nama ini menjadi suatu perlambangan budaya makan dalam kalangan masyarakat di negara ini,” jelasnya sambil memberitahu, terdapat 14 orang kakitangan di restoran berkenaan buat masa ini.

Memiliki keluasan 246.8 meter persegi, premis itu turut menyediakan sebuah bilik khas bagi pengunjung yang inginkan privasi.

“Ia bagaimanapun perlu ditempah lebih awal. Ruang lain dalam premis ini juga boleh disewa untuk majlis dan acara tertentu mengikut bajet pelanggan,” ujar Edvelyn.

Mampu memuatkan sehingga 110 orang pelanggan pada satu-satu masa, restoran tersebut menyajikan sajian kegemaran tempatan seperti pisang goreng bersama sos karamel, coklat dan keju, nasi kerabu ayam percik, kuetiau goreng basah, mi siam dan roti bakar (roti titab) yang disediakan oleh cef dari Kelantan.

“Kami turut menyediakan seleksi menu barat seperti ayam panggang bersama sos berkrim, burger dan pasta untuk memenuhi selera pelanggan.

“Epal asam boi dan teh hijau susu pula adalah antara minuman kegemaran di sini. Kami turut menyajikan seleksi manisan buatan sendiri seperti pavlova, kek kranberi dan pistasio serta kek keju beri biru” katanya.