Gigitan nyamuk punca Lymphatic filariasis

SELEPAS empat tahun, kaki kiri Pithadia yang bengkak telah mencapai berat mencecah 25kg.


DENGAN perlahan-lahan, lelaki berusia lebih separuh abad itu berjalan untuk ke tandas sambil tangannya erat memegang setiap perabot yang ada di rumahnya.

Sesekali kerut di dahinya jelas menun­jukkan rasa kesakitan yang terpaksa ditanggung. Lelaki itu, Chetan Pi­thadia, 53, terpaksa menanggung derita gara-gara kaki kirinya membesar dan membengkak sejak empat tahun lalu.

Menceritakan semula permulaan derita yang ditanggung itu, Pithadia memberitahu, dia asalnya mempunyai sepasang kaki bersaiz normal sama seperti orang lain.

Namun, kaki kirinya mula menjadi besar dan membengkak selepas digigit nyamuk sekali gus mengubah kehidupannya.

“Saya masih ingat pada suatu hari kaki saya telah digigit nyamuk dan meninggalkan kesan bintat kecil dan berasa gatal,” ujar lelaki yang tinggal di Jamnagar, Gujarat di India itu.

Bagaimanapun, Pithadia mendakwa keadaan kaki kirinya menjadi bengkak dan semakin membesar sehingga membuatkan dia bimbang.

25 kilogram

Melihat keadaan kakinya itu, Pithadia telah pergi ke hospital sebelum doktor memberikannya ubat, namun keadaan kakinya tetap sama.

“Semakin hari keadaan kaki saya menjadi semakin besar sehingga menyukarkan saya untuk berjalan selain terpaksa menanggung rasa sakit setiap hari,” kata bapa kepada dua orang anak itu.

Selepas empat tahun, bengkak kaki kiri lelaki itu telah mencapai berat mencecah 25 kilogram dan menjadi semakin teruk kerana berada dalam keadaan menggerutu dan berbonjol-bonjol.

Pithadia yang sebelum ini bekerja di sebuah kilang membuat pakaian terpaksa berhenti kerja kerana tidak mampu berdiri lama, selain sukar untuk berjalan.

Keadaan itu menambah lagi derita Pithadia kerana dia tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital kerana tidak mempunyai wang bagi membiayai kos rawatannya yang mencecah £3,500 (RM19,260).

“Baru-baru ini saya telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kerala, namun ia tidak dapat diteruskan kerana masalah kewangan,” jelas Pithadia yang perlu mendapatkan rawatan di hospital tersebut sebanyak tiga kali sebulan.

Terdahulu, Pithadia juga pernah mendapatkan rawatan di Hospital Besar Mumbai yang terletak sejauh 1,000 kilometer (km) dari Gujarat untuk mendapatkan ubat, namun tiada apa-apa perubahan pada kaki kirinya.


KEADAAN kaki kiri Pithadia yang besar dan bengkak menyebabkan dia sukar untuk berjalan dan bekerja.


Kaki Gajah

Tidak berputus asa untuk terus mendapatkan rawatan, Pithadia telah mendapatkan rawatan di sebuah hospital kecil di tempat tinggalnya sebelum doktor yang menjalankan rawatan ke atasnya menemui jawapan kepada masalah yang dia hadapi.

Menurut doktor, Pithadia telah dikesan menghidap masalah yang dikenali sebagai lymphatic filariasis atau kaki gajah disebabkan oleh cacing filarial yang dibawa nyamuk.

Lymphatic filariasis yang dibawa oleh nyamuk terjadi apabila seseorang itu digigit oleh serangga tersebut sekali gus mengakibatkan cacing filarial memasuki tubuh.

Difahamkan, sekiranya bengkak yang berlaku di kaki itu merebak sehingga ke bahagian perut, keadaan itu boleh memberi risiko maut pada seseorang.

Apabila cacing filarial itu memasuki tubuh, ia boleh mengakibatkan tubuh seseorang itu bengkak kerana berlaku gangguan pada salur limfa sekali gus menyebabkan berlakunya pengumpulan cecair dalam tubuh.

Bulan lalu, pakar di India mendedah­kan masalah Lymphatic filariasis boleh dirawat melalui kaedah rawatan yang terdapat di Institut Dermatologi Gunaan di Kerala yang terletak kira-kira 2,000km dari selatan Gujarat.