Elak obesiti minum air kosong ketika makan


PENGAMBILAN air kosong sewaktu makan berupaya menurunkan kadar lemak tepu dan gula sekali gus dapat mencegah seseorang mendapat obesiti. – Gambar hiasan


MENGHIDANGKAN air kosong kepada kanak-kanak sewaktu makan tengah hari cenderung untuk mengelakkan mereka daripada menjadi obesiti.

Satu kajian yang dijalankan selama lima tahun di 1,200 buah sekolah rendah dan menengah di New York, Amerika Syarikat berjaya menunjukkan hasil positif terhadap perkembangan kesihatan murid-murid selepas sebuah alat penapis air diletakkan di kantin sekolah.

Dalam kajian tersebut mendapati, peratus murid-murid yang mengalami masalah kegemukan menurun selepas 12 bulan gara-gara mereka mengamalkan minum air kosong sewaktu makan tengah hari.

Kajian itu yang dijalankan oleh penyelidik dari Fakulti Kinesiologi dan Kesihatan Komuniti dari Universiti Illinois, Amerika Syarikat, Prof. Ruopeng An yang memberitahu, obesiti seperti yang diketahui boleh menyebabkan seseorang itu mendapat serangan jantung, kencing manis, kanser serta demensia.

“Amalan meminum air kosong sewaktu makan ternyata dapat menurunkan kadar pengambilan lemak tepu dan gula dalam tubuh seseorang,” ujar An.