I-NAI pilih ukiran tangan warga Uzbekistan



SEPASANG tangan tua itu kelihatan begitu teliti mengukir sejenis material binaan seakan-akan kapur yang dipanggil jipsum menjadi satu motif geometri yang cantik.

Kakinya yang sudah berdiri selama lima jam itu seolah-olah tidak mengenal erti lelah apabila dia tetap terus berdiri sambil tersenyum ke arah kru Jurnal yang sedang tekun memerhatikan gerak-gerinya.

Fatkhulla Nabiev, 67, sesekali membetulkan kopiah rona kelabu yang terletak pada kepalanya sambil memperkemaskan jipsum yang sudah siap diukir.

Debu-debu daripada permukaan jipsum yang tebal sudah melekat di tangan Nabiev menandakan bahawa sudah banyak kepingan jipsum yang sudah diukirnya tengah hari itu.

Begitulah tugas harian pengukir kelahiran Tashkent, Uzbekistan itu yang lebih mesra disapa sebagai uncle.

Pada usia emas begitu, lelaki yang sudah berpengalaman hampir 30 tahun dalam kerja-kerja mengukir motif binaan dengan ciri-ciri ketamadunan Islam itu sepatutnya sudah boleh bersara dan duduk berehat di samping ahli keluarganya.

Begitu pun, minat yang mendalam serta kepakaran yang dimiliki membuatkan lelaki itu masih lagi bertugas sebagai ketua projek mengukir bagi syarikat I-NAI Venture yang bercirikan seni bina Islam.


STRUKTUR dalam Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ini merupakan salah satu hasil ukiran I-NAI Venture Holdings.


Penuh teliti

Tidak lokek berkongsi cerita, Nabiev memberitahu, semua ukiran yang dibuat dihasilkan sepenuhnya menggunakan tangan pengukir tanpa menggunakan kepakaran mesin.

“Kami menghasilkan ukiran pelbagai motif dengan hanya menggunakan besi pengukir jipsum dengan penuh teliti.

“Ukiran yang sedikit senget atau tidak begitu cantik misalnya akan dikemaskan sehingga ia menjadi satu motif yang memuaskan hati,” ujarnya panjang lebar.

Motif-motif berunsurkan flora, geometri dan mukarmas merupakan antara motif yang cukup terkenal dan menjadi pilihan dalam kalangan penggemar motif seni bina Islam di negara ini.

Tidak lokek berkongsi tentang proses menghasilkan ornamen dengan sentuhan seni bina Islam, Nabiev berkata, selepas proses mengukir selesai, jipsum akan disadur dengan campuran simen dan dibiarkan kering sebelum boleh mula dipasang pada bangunan-bangunan.

Proses mewarnakan simen dengan pelbagai warna menarik pula hanya boleh dimulakan semasa ia sedang dipasang.

Berbekalkan kepakaran dalam seni ukiran yang dimiliki, masyarakat Uzbekistan merantau dan menterjemahkan kebolehan yang ada ke negara-negara yang berminat dengan seni bina Islam, termasuk Malaysia.

Ketelitian serta kehalusan hasil ukiran tangan masyarakat Uzbekistan tiada tolok bandingnya dan berjaya memikat hati Nik Ahmed Mazlan, 56, yang merupakan Pengarah Urusan syarikat seni bina bercirikan Islam, I-NAI Venture Holdings yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor.


SEORANG pekerja di I-NAI Ventures sedang menyadur jipsum yang sudah siap diukir dengan campuran simen.


Kisah menarik

Menurut Nik Ahmed Mazlan, dia cukup tertarik dengan ukiran masyarakat Uzbekistan dan mengagumi kekemasan motif bercirikan ketamadunan Islam yang dihasilkan mereka.

“Jika dilihat, negara-negara Islam yang lain masing-masing memiliki teknik ukiran yang berbeza-beza. Contohnya, ukiran dari Maghribi berbeza dengan ukiran dari Sepanyol. Begitu juga dengan seni bina dari Uzbekistan yang pada saya cukup kemas dan halus.

“Oleh itu, selepas bekerjasama dengan mereka dalam satu projek lain sebelum ini, saya mengambil keputusan untuk mengekalkan kepakaran mereka bagi projek-projek seterusnya di bawah jenama I-NAI Venture Holdings kerana hasil kerja mereka yang kemas cukup kena dengan cita rasa saya,” ujar anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Beliau menambah, kesabaran dan ketelitian pengukir-pengukir itu telah menambat hatinya memandangkan tidak ramai yang mampu atau mahu untuk berdiri sehingga berjam-jam lamanya bagi menghasilkan sesebuah ukiran.

Sebagai sebuah syarikat seni bina yang menekankan seni bina Islam, Nik Ahmed Mazlan berkata, tujuan penubuhan I-NAI Venture Holdings adalah kerana mereka mahu mengembalikan serta mengembangkan seni bina Islam.

“Tidak ramai yang tahu bahawa banyak ilmu tersembunyi yang terkandung dalam binaan-binaan berusurkan Islam. Di sebalik setiap ukiran, terdapat satu cerita yang cukup menarik untuk dikaji.

“Elemen-elemen seperti inilah yang menarik minat saya sebagai seorang arkitek untuk membawa seni bina Islam ke negara ini dan mengembangkannya,” ujarnya yang pernah mengetuai pasukan reka bentuk Menara Berkembar Petronas (KLCC).


NABIEV (dua dari kanan) bersama seorang lagi pengukir dari Uzbekistan, Zakhidov Dilmurat sedang memotong kepingan jipsum sebelum mula mengukirnya.


Kontena

Ditanya mengapa masih lagi menggunakan kepakaran orang Uzbekistan dan bukannya anak tempatan dalam menghasilkan ukiran jipsum, Nik Ahmed Mazlan mendedahkan, dia bukan tidak mahu seni ukiran bercirikan Islam dihasilkan oleh anak tempatan sepenuhnya, tetapi anak tempatan lazimnya kurang gemar melakukan kerja-kerja ukiran kerana tidak mahu tangan mereka menjadi kotor.

“Jipsum merupakan sejenis material seakan-akan kapur dan proses ukiran akan menjadikan tangan dipenuhi debu. Anak muda tempatan selalunya kurang gemar melakukan kerja-kerja sedemikian biarpun mereka mungkin mempunyai kepakaran,” ujarnya.

Menurut bapa kepada tujuh orang anak itu, ukiran bercirikan Islam mempunyai daya pemikat yang cukup kuat. Corak yang dihasilkan haruslah tidak putus, menjadikan seni ukiran pada jipsum mempunyai nilainya yang tersendiri.

“Oleh itu, sebagai seorang arkitek, saya menganggap apa yang dilakukan ini adalah satu bentuk dakwah melalui hasil seni,” ungkapnya ketika ditemui di ibu pejabat I-NAI Venture Holdings di Petaling Jaya.

Nik Ahmed Mazlan menambah, bagi mendapatkan lebih ramai individu yang berminat untuk belajar seni ukiran bercirikan ketamadunan Islam, mereka boleh menghubungi I-NAI Venture Holdings untuk menghadiri kelas-kelas ukiran yang akan diketuai oleh pengukir bertauliah dari Uzbekistan.

Selain itu, bagi projek terbaharu, Nik Ahmed Mazlan memberitahu, beliau sedang mengusahakan binaan berbentuk kontena yang diberi sentuhan seni bina Islam.

“Binaan daripada kontena merupakan satu idea yang cukup segar dan merupakan trend terbaharu. Oleh itu, bagi projek seterusnya, I-NAI Venture Holdings akan menghasilkan binaan kontena, namun tetap mengekalkan seni bina berunsurkan Islam pada binaan tersebut,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.