Wanita pertama tawan La Planta de Shiva


EITER menjalani rejim latihan ketat sebelum meneruskan semula pendakian untuk menawan puncak La Planta de Shiva.


ANGELA EITER, 31, tersenyum bangga apabila melihat kawasan sekeliling sebaik tiba di Puncak 9b, La Planta de Shiva yang terletak di Villanueva del Rosario, Sepanyol.

Titisan peluh yang mengalir membasahi tubuhnya dibiarkan begitu sahaja. Matanya berkaca sambil bibirnya tidak putus-putus mengukir senyuman.

Jelas pendaki yang berasal dari Austria itu, dia tidak percaya usaha kerasnya yang menjalani rejim latihan ketat selama dua tahun akhirnya membuahkan hasil selepas berjaya menawan Puncak 9b La Planta de Shiva pada Ahad lalu. Puncak itu merupakan formasi batu kapur paling mencabar di Sepanyol.

Kejayaan tersebut lantas menjadikan Eiter sebagai wanita pertama dalam sejarah dunia yang menawan puncak berketinggian 46 meter itu.

“Ramai yang terkejut sebaik mengetahui saya berjaya menawan puncak tersebut. Bukan mereka sahaja, malah saya juga tidak menyangka mampu mendaki setinggi itu.

“Sebelum saya memulakan pendakian beberapa tahun lalu, orang ramai sering mempersoalkan kebolehan diri lebih-lebih lagi apabila melihatkan tubuh saya yang kecil sementelah cubaan beberapa orang pendaki wanita untuk menawan puncak tersebut sebelum ini berakhir dengan kegagalan.

“Bagaimanapun, saya berjaya mengubah stigma tersebut dan membuktikan tiada apa yang mustahil untuk dilakukan dalam dunia ini,” jelasnya.


ONDRA merupakan lelaki pertama yang berjaya menawan La Planta de Shiva pada tahun 2011.


Berkampung

Menurut Eiter, dia mula aktif mendaki sejak berumur belasan tahun.

Bagaimanapun, dia hanya memulakan percubaan mendaki Puncak 9b La Planta de Shiva pada bulan Oktober 2015.

“Bagaimanapun, percubaan tersebut gagal. Saya hanya berjaya sampai sehingga laluan 9a.

“Kami kemudian cuba mendaki ke puncak tersebut beberapa kali, namun kesemua usaha tersebut gagal. Biarpun begitu, semangat saya untuk terus mencuba masih membara,” jelasnya.

Ujar Eiter lagi, gara-gara kecewa dengan kegagalan tersebut, dia mengambil keputusan untuk berehat.

“Sepanjang tempoh berehat, saya mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal bagi membolehkan diri berada di puncak tersebut.

“Saya kemudian kembali semula ke La Planta de Shiva, dua tahun kemudian untuk meneruskan misi pendakian,” jelasnya.

Menurut Eiter lagi, dia memulakan pendakian pada awal Oktober lalu.

Pada waktu itu, Eiter sanggup berkampung di kaki gunung selama dua minggu dan cuba melakukan pendakian ke Puncak 9b sebanyak tujuh kali.

Jelas Eiter lagi, biarpun hampir berputus asa, namun siapa sangka, wanita tersebut akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke puncak La Planta de Shiva.

“Ramai yang tertanya bagaimana saya berjaya melakukan pendakian ini.

“Sebenarnya, selepas percubaan kali pertama menemui kegagalan, saya mengambil keputusan untuk berehat dan melakukan sedikit kajian dengan merujuk rakaman video seorang pendaki lelaki, Adam Ondra.

“Ondra merupakan satu-satunya pendaki yang berjaya mendaki sehingga ke puncak tersebut pada Jun 2011.

“Selepas menyaksikan sendiri halangan-halangan yang bakal dihadapi, saya mula mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Sekurang-kurangnya, saya tidak akan cepat berputus asa sebaik berada di atas sana kelak,” jelasnya.


EITER merupakan wanita pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke Puncak 9b La Planta de Shiva di Villanueva del Rosario, Sepanyol.


Kecederaan

Ternyata, rakaman video yang ditontonnya mendorong beliau berjaya menamatkan pendakian tersebut sehingga ke puncak.

Bagaimanapun, jelas Eiter lagi, biarpun telah memuat persiapan dari segi mental dan fizikal, namun dia tidak terlepas daripada diuji dengan laluan yang sukar dan mencabar.

Sehingga ke satu tahap, Eiter terpaksa mencari rentak sendiri dan mengetepikan teknik-teknik yang dipelajari daripada Ondra untuk meneruskan pendakian tersebut.

“Saya seperti berputus asa ketika berada di pertengahan pendakian. Ketika itu, saya rasakan perkara ini sangat mustahil kerana laluan yang perlu dilalui adalah sangat sukar dan memerlukan stamina yang tinggi.

“Tambahan pula, sebelum ini saya pernah mengalami kecederaan serius di bahagian tangan dan kaki. Keadaan tersebut begitu mengecewakan dan saya hampir berpatah balik.

“Disebabkan terlalu tertekan dengan situasi tersebut, saya telah berkata dalam diri bahawa aktiviti ini sia-sia sahaja dan ia perlu menghentikan segera,” jelasnya.

Biarpun begitu, jelas Eiter lagi, semangat pendakiannya kembali selepas menerima sokongan daripada rakan sekeliling selain menyedari aktiviti tersebut menyeronokkan.

“Pada waktu itu saya fikir jika tidak dapat sampai ke puncak sekalipun, sekurang-kurangnya saya jadikan aktiviti sebagai salah satu cara untuk mengisi waktu lapang.

“Saya kemudian meneruskan semula pendakian sehingga berjaya tiba ke Puncak 9b,” jelasnya.

Tutur Eiter lagi, tempoh dua tahun mempelajari teknik-teknik mendaki di La Planta de Shiva memberi seribu satu kenangan yang terindah dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi apabila dia dinobatkan sebagai wanita pertama yang berjaya menawan Puncak 9b tersebut.