Nafas baharu seni kait krusye


NURFAEZAH memilih rona biru, merah dan kuning yang diinspirasikan daripada Jalur Gemilang untuk menyiapkan bahagiannya dalam projek alas meja terpanjang.


JARI-JEMARI Nurfaezah Abdullah, 50, cekap mengait benang bulu menggunakan jarum bercangkuk tunggal hingga membentuk sehelai kaitan krusye berbentuk segi empat sama.

Usai kaitan krusye dalam bentuk dipanggil granny square tersebut siap dibuat, ibu kepada enam orang anak itu menyambung mengait beberapa helaian lagi untuk dicantum antara satu sama lain.

“Saya perlu menyiapkan kira-kira 15 helai kaitan krusye yang setiap satunya dicantum antara satu sama lain bagi membentuk sehelai alas meja pendek.

“Ia berbentuk segi empat tepat dengan ukuran panjang 8 hingga 10 meter (m),” katanya yang mesra disapa Kak Eza.

Dia yang ditemui kru Jurnal di rumahnya di Bandar Seri Putra, Selangor baru-baru ini memberitahu, setiap satu kaitan krusye tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

“Kalau banyak masa, ia boleh disiapkan dalam tempoh antara dua hingga tiga hari tetapi jika banyak komitmen lain, ia boleh memakan masa sehingga tiga minggu,” jelas wanita berketurunan Kadazan dari Penampang, Sabah itu.

Menariknya, hasil kerja tangan Kak Eza yang merupakan salah seorang daripada 59 penggiat seni kait yang bernaung di bawah kumpulan Pak Tam Harmoni Kraf akan dicantumkan dengan kaitan krusye peserta lain untuk membentuk alas meja panjang berukuran 500m.

Tambah manis, ia bakal mencatat rekod sebagai alas meja krusye terpanjang dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sempena Festival Kraf Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCIF) 2017 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 23 hingga 26 November ini.

Bercerita tentang idea di sebalik penghasilan kraf tangan itu, pengasas Pak Tam Harmoni Kraf, Shukor Ismail, 67, atau mesra dengan panggilan Pak Tam memberitahu, dia terfikir untuk membuat sesuatu yang berbeza bagi menampilkan kelainan kepada penganjuran KLCIF kali ini.

“Selepas perbincangan dibuat, ada beberapa ahli kumpulan yang mengusulkan idea untuk membuat sesuatu yang tidak pernah dibuat sebelum ini seperti mengait alas meja terpanjang. Bertitik tolak daripada situ, kami bersetuju untuk merealisasikan idea tersebut menjadi kenyataan,” katanya.


SEBAHAGIAN ahli kumpulan Pak Tam Harmoni Kraf menunjukkan alas meja krusye sepanjang kira-kira 300m yang bakal mencatat rekod dalam MBOR.


Popularkan semula

Bertutur lanjut, Pak Tam berkata, kumpulan kelolaannya itu memulakan projek mengait alas meja terpanjang tersebut pada awal bulan Mac selepas mendapat persetujuan MBOR.

Menggunakan kemahiran mengait masing-masing, setiap peserta diberi tugasan menyiapkan lapan helai alas meja meliputi 120 helai kaitan krusye mengikut teknik dan kreativiti tersendiri sebelum disambung dengan bahagian peserta lain bagi mencapai ukuran panjang yang ditetapkan.

“Setakat ini, kira-kira 300m sudah berjaya disiapkan dan dijangka siap sepenuhnya sebelum 25 November iaitu tarikh pihak MBOR membuat pengukuran akhir bagi mengiktirafnya sebagai rekod alas meja terpanjang di Malaysia,” katanya.

Jelas Pak Tam, selain mahu menampilkan kelainan, dia turut mengambil peluang itu untuk mempopularkan semula kraf tangan krusye khususnya dalam kalangan generasi muda.

Katanya, ini kerana seni krusye tidak terhad kepada penghasilan produk-produk dekorasi rumah dan kelengkapan bayi sahaja, malah kini turut dikomersialkan dalam pembuatan aksesori seperti kasut, beg tangan, pakaian dan tudung.

“Semuanya bergantung kepada kreativiti dan inisiatif pengusaha kraf untuk menghasilkan kaitan krusye dengan rekaan moden dan terkini,” kata Pak Tam yang mempelajari seni mengait daripada neneknya semasa berusia sembilan tahun.

Bagi Kak Eza, dia menampilkan kaitan krusye granny square dalam warna biru, merah dan kuning sempena warna Jalur Gemilang bagi menunjukkan identiti negara.

“Seni kait ini mungkin seperti sudah dilupakan tetapi ia ada peminat tersendiri dan masih mendapat permintaan ramai khususnya dalam kalangan individu kerana kualiti, corak dan warnanya,” ujar Kak Eza.

Kekangan masa

Dia yang mengusahakan perniagaan sendiri bergiat dalam seni mengait semasa berusia 16 tahun selepas tertarik dengan kepelbagaian serta keunikan corak kaitan krusye.

“Pada awalnya saya buat suka-suka untuk isi masa lapang tetapi tidak sangka minat ini berterusan sampai sekarang,” katanya.

Peluang mengikut suami bertugas di luar negara membuka peluang kepada Kak Eza untuk melihat budaya seni kait di negara orang.

“Saya cari benang dari Jepun, Filipina dan Itali yang memberikan hasil berbeza berikutan material benangnya yang lain daripada lain.

“Kalau diteliti setiap alas meja ini, ia mungkin nampak sama tetapi setiap hasil kerja peserta menunjukkan teknik dan kemahiran berbeza,” ceritanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Jemiah Ripin, 52, memberitahu, antara cabaran utama yang dilalui kebanyakan peserta adalah kekangan masa kerana rata-rata bekerja pada siang hari atau perlu menguruskan anak-anak dan keluarga.


SETIAP satu krusye berbentuk granny square akan dicantum antara satu sama lain menjadi alas meja pendek.


Tahan lama

Ibu kepada empat orang anak itu turut menyifatkan kepayahan mencari benang kait yang berkualiti pada harga murah adalah antara cabaran lain yang perlu dihadapi.

“Kami tidak ditaja mana-mana pihak, jadi semua perbelanjaan seperti membeli benang, jarum dan sebagainya ditanggung peserta tetapi kami tidak berkira kerana kerja mengait memberi kepuasan sebaik berjaya dihasilkan,” jelasnya sambil memberitahu, kos menghasilkan alas meja terpanjang itu menelan belanja kira-kira RM50,000.

Jemiah atau Kak Miah mempelajari seni mengait daripada jirannya semasa berumur 14 tahun. Hanya sekadar suka-suka, timbul minat mendalam hingga wanita itu mula mengambil upah mengait sebagai duit tambahan semasa zaman remajanya.

“Untuk penyertaan MBOR ini, saya membahagikan masa pada waktu malam dan hari minggu untuk menyiapkan lapan set alas meja seperti yang ditugaskan.

“Kami sekumpulan berasa seronok dapat berkumpul begini dan mengait beramai-ramai kerana selain merapatkan hubungan, kami dapat berkongsi idea dan saling memberi tunjuk ajar,” katanya tersenyum.

Ditanya mengenai ketahanan kaitan krusye, Kak Miah memberitahu, ia tidak mudah luntur warna serta tidak mudah reput jika dijaga dengan baik dan rapi.

“Memandangkan ia biasa digunakan sebagai perhiasan meja dan sebagainya, tidak dinafikan kaitan krusye mudah kotor serta senang tercarik.

“Untuk itu, penggunaan plastik sebagai pelindung penting bagi memastikan ia sentiasa bersih. Kalau elok penjagaannya, kaitan krusye boleh tahan sehingga berpuluh tahun lamanya,” kata Jemiah.