Fahami prosedur pengambilan amah elak ditipu


PENGAMBILAN pembantu rumah secara langsung mampu mengurangkan kos sehingga 50 peratus. – Gambar hiasan


Dalam pembentangan Bajet 2018 di Dewan Rakyat pada 27 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa majikan kini boleh mengambil pembantu rumah secara langsung dari negara sumber tanpa perlu melalui ejen.

Peraturan baharu tersebut dilakukan bagi mengurangkan kos pengambilan pembantu rumah oleh majikan yang kini dikatakan menelan kos antara RM12,000 hingga RM18,000.

Menerusi pembentangan itu, Najib turut menjelaskan bahawa majikan boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.

Pengumuman itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada orang awam yang menyifatkan pengambilan pembantu rumah secara langsung boleh menjimatkan kos belanja sehingga 50 peratus berbanding menerusi ejen.

Biarpun begitu, beberapa pihak mendakwa, pengambilan secara langsung dikhuatiri akan mendatangkan pelbagai masalah seperti kes penipuan dan gejala sosial.

Bagi mengulas lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Jeffrey Foo di pejabatnya di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Boleh tuan ceritakan sedikit mengenai latar belakang dan peranan PAPA?

Jeffrey Foo: PAPA ditubuhkan pada tahun 1993 dan berperanan untuk menguruskan kepentingan ahli-ahlinya iaitu agensi pekerjaan swasta yang berdaftar dengan Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Setakat ini, PAPA mempunyai lebih 200 keahlian yang bertanggungjawab menguruskan pengambilan pekerja domestik dari sembilan negara sumber yang dibenarkan oleh pihak kerajaan termasuk Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Laos, India dan Sri Lanka.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa majikan kini boleh mengambil pembantu rumah secara langsung tanpa perlu menerusi agensi dalam pembentangan bajet 2018. Boleh tuan ulas mengenai isu tersebut?

Saya rasa pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pada pembentangan bajet 2018 baru-baru ini adalah satu langkah yang bijak. Menerusi bajet tersebut, orang ramai kini boleh mendapatkan pembantu rumah secara langsung dari negara-negara sumber tanpa perlu melalui agensi.

Menerusi pembentangan yang dilakukan, majikan pada hari ini tidak lagi perlu mengeluarkan wang yang banyak hanya untuk mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah. Malah, menerusi langkah yang dilakukan itu juga, majikan mampu menikmati kadar penjimatan sehingga RM10,000 berbanding jika mereka menggunakan perkhidmatan agensi.

Saya rasa, ini merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menegur mana-mana agensi yang tidak bertanggungjawab. Saya akui dewasa ini terdapat beberapa buah agensi dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga kos pengambilan amah semata-mata kerana ingin mendapatkan keuntungan berlipat kali ganda sehingga memberi tekanan kepada majikan. Senario tersebut telah lama berlaku dan ia berlanjutan sehingga ke hari ini. Sehingga ke satu tahap, situasi tersebut turut menjejaskan nama baik agensi pengambilan pekerjaan lain yang benar-benar mengendalikan perniagaan mereka mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Biarpun begitu, kami di PAPA tidak mempunyai sebarang hak untuk mengambil tindakan terhadap agensi-agensi tersebut memandangkan tiada sebarang akta yang menyatakan bahawa PAPA boleh mengambil sebarang tindakan terhadap agensi-agensi yang menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya.

Boleh pihak tuan terangkan implikasi pengambilan pembantu rumah secara langsung?

Kelebihannya sudah tentu dapat meringankan beban majikan kerana mereka kini tidak lagi perlu membayar sejumlah wang yang besar hanya untuk mendapatkan pembantu rumah. Bukan itu sahaja, mereka juga boleh pergi ke mana-mana negara sumber seperti Indonesia contohnya dan membuat pengambilan pembantu rumah secara terus.

Biarpun begitu, kaedah ini bagaimanapun dikhuatiri bakal mendatangkan impak negatif kepada majikan dan juga negara. Antaranya ialah penularan penyakit berjangkit, eksploitasi dan gejala sosial.

Seperti yang diketahui umum, sebelum mana-mana pekerja dibawa masuk ke negara ini, mereka diwajibkan menjalani saringan kesihatan terlebih dahulu. Hanya pekerja yang sihat sahaja akan dibenarkan untuk bekerja dan seterusnya mendapatkan permit pekerjaan yang sah. Sebaik tiba di Malaysia, tahap kesihatan mereka sekali lagi akan disaring bagi memastikan setiap pekerja yang dibawa masuk bebas daripada mana-mana penyakit berbahaya dan sihat dari segi mental.

Selain masalah kesihatan, kami juga khuatir pengambilan secara langsung menyebabkan majikan tidak mempunyai sebarang jaminan daripada ejen dari negara sumber. Sebagai contoh bagi kes-kes yang melibatkan pembantu rumah lari dan kecurian sehingga menyebabkan majikan terpaksa menanggung lebih banyak kerugian berbanding pengambilan pembantu rumah menggunakan khidmat agensi.

Malah, kebarangkalian untuk berlakunya kes penipuan daripada pihak ejen adalah sangat tinggi memandangkan banyak prosedur yang perlu difahami untuk pengambilan amah. Kita juga risau pengambilan secara langsung menyebabkan bertambahnya pekerja asing di negara ini dan seterusnya mendatangkan pelbagai masalah sosial dalam negara.


MAJIKAN perlu diberi pendedahan lanjut bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan ejen negara sumber.


Ramai yang mendakwa kos pengambilan pembantu rumah di negara ini adalah terlalu tinggi dan tidak berpatutan. Boleh pihak tuan terangkan mengapakah kos pengambilan pembantu rumah yang ditawarkan kebanyakan agensi di negara ini terlalu tinggi?

Saya akui ramai yang merungut mengenai kos pengambilan pembantu rumah yang tinggi dan menyalahkan pihak agensi. Bagaimanapun, saya tidak menyalahkan perkara ini terhadap agensi seratus peratus memandangkan harga pengambilan amah sebenarnya ditentukan oleh negara sumber.

Disebabkan itu, pihak agensi di negara ini terpaksa membuat penawaran harga yang berpatutan dengan ejen di negara sumber bagi mendapatkan pekerja yang diinginkan. Lebih-lebih lagi apabila mereka terpaksa bersaing dengan negara-negara jiran seperti Singapura dan Hong Kong yang menawarkan harga bayaran pembantu rumah yang lebih tinggi kepada negara sumber.

Ekoran itu, pihak agensi terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan amah dan ia secara tidak langsung menyebabkan kos untuk mendapatkan amah menjadi tinggi. Keadaan itu ia telah dianggap pihak agensi mengambil keuntungan yang tinggi daripada aktiviti mereka.

Namun, pihak agensi sebenarnya hanya mendapat keuntungan sekitar RM2,000 sahaja kerana mereka terpaksa membayar lebih RM10,000 kepada negara sumber dan kos tersebut tidak termasuk dengan kos-kos lain seperti tambang penerbangan, pembayaran levi, visa, perubatan, insurans dan sebagainya yang dikenakan terhadap setiap pengambilan pembantu rumah di negara ini.

Boleh tuan jelaskan siapakah yang memainkan peranan untuk menentukan harga siling pembantu rumah di negara ini?

Harga siling tertakluk sepenuhnya kepada negara sumber berdasarkan perjanjian persefahaman membabitkan kerajaan dan kerajaan negara sumber. Sebagai contoh di Indonesia, harga siling bagi pengambilan pembantu rumah ialah RM7,000. Bagaimanapun, harga tersebut kini berubah-ubah dan mereka kadang-kala menetapkan kadar sehingga melebihi RM10,000 berdasarkan permintaan dan persaingan daripada negara-negara jiran.

Apakah mekanisme yang dilakukan oleh PAPA bagi memastikan peraturan baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu pengambilan pembantu rumah secara terus tidak memberi implikasi negatif terhadap negara?

PAPA akan cuba melakukan perbincangan dan dialog dengan pihak kerajaan, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen bagi memberikan cadangan yang lebih baik untuk memantau setiap pekerja yang dibawa masuk ke negara ini. Malah, kita juga perlu memberi pendedahan kepada majikan-majikan yang ingin mem­buat pengambilan secara langsung bagi mengelakkan diri mereka daripada ditipu ejen sumber.