Tanggung rugi jutaan ringgit


BEGINILAH kesan kerosakan pada kawasan sangkar ikan di Pulau Aman dalam kejadian ribut pada Ahad lalu menyebabkan pemiliknya kerugian jutaan ringgit.


SEBERANG PERAI – Kira-kira 30 pemilik sangkar ikan di sekitar Pulau Aman dekat Batu Kawan di sini kerugian jutaan ringgit apabila sangkar-sangkar ikan milik mereka pecah akibat kejadian ribut Ahad lalu.

Ribut selama dua jam bermula pukul 2 pagi itu disusuli hujan lebat lebih 15 jam yang turut menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dilanda banjir kilat.

Antara ikan-ikan yang terlepas ialah bawal emas dan merah, jenahak serta kerapu.

Biarpun hampir seminggu berlalu, namun hampir kesemua sangkar yang terjejas belum dibaik pulih kerana ia memerlukan kos yang besar.

Kesan kerosakan juga masih boleh dilihat apabila ada struktur sangkar yang hanyut sehingga ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Jeti Batu Musang di Batu Kawan sejauh 15 kilometer.

Seorang pekerja di sebuah sangkar ikan, Yahya Ibrahim, 42, berkata, kejadian itu merupakan yang terburuk sejak 15 tahun lalu.

Katanya, kawasan tersebut jarang dilanda ribut kerana kedudukannya yang terlindung di Selat Pulau Pinang.

“Memang pernah berlaku kejadian ribut tetapi tidak melibatkan kerosakan.

“Malangnya kejadian Ahad lalu lebih teruk lagi berbanding ketika tsunami pada 2004,” katanya.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.