Imbau nostalgia zaman kanak-kanak

Haw Flakes atau asam duit antara snek kegemaran Fatin Amanina.


MENGIMBAS kenangan sedekad lalu membuatkan gadis ini tersenyum sendirian.

Setiap pagi, sebelum ke sekolah, kakinya akan dilencongkan ke kedai runcit berhampiran. Dia akan singgah di kedai yang terletak berhampiran rumahnya iaitu di Seri Iskandar, Perak untuk membeli jajan atau makanan ringan. Ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin Fatin Amanina Rusli, 21, untuk singgah di kedai tersebut tetapi kini, dia yang bekerja sebagai pembantu jualan di sebuah pasar raya di Shah Alam, Selangor tidak lagi berbuat demikian kerana makanan ringan kegemarannya semakin sukar didapati.

“Antara makanan ringan yang menjadi kegemaran saya ialah asam Haw Flakes atau dikenali juga dengan nama asam duit kerana bentuknya yang berkeping-keping seperti duit syiling.

“Selain itu saya juga menggemari lolipop jenama Hero dan juga gula-gula sugus jenama Sochews,” katanya mengimbas zaman persekolahannya itu.

Fatin Amanina merupakan salah seorang peminat jajan lama yang semakin sukar didapati pada masa kini. Walaupun usianya masih muda, namun untuk mendapatkan produk itu, dia masih perlu membuat carian seperti di laman web dan Facebook.

Hanya pada bulan lalu, dia terlihat kenalannya di Facebook berkongsi gambar mengenai sebuah kedai dikenali Childhood Memory Lane yang terletak di pusat beli-belah MyTown, Cheras, Kuala Lumpur.

Kedai berkenaan menjual pelbagai makanan dan mainan lama yang sering dicari-cari masyarakat zaman ini.

“Saya gembira apabila melihat salah seorang kenalan berkongsi maklumat mengenai kedai ini. Tidak silap saya, kedai ini sudah pun tular di media sosial.

“Tidak sangka apabila ke sini, banyak snek lama yang dijual. Malah, ada antaranya yang saya tidak pernah lihat boleh didapati di sini,” katanya ketika ditemui di Childhood Memory Lane, MyTown, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perkataan jajan dipercayai berasal daripada Jawa, Indonesia, manakala dalam bahasa Melayu, jajan bermaksud kudapan, snek atau makanan ringan.

Senarai


Kedai yang menjual makanan dan permainan dulu-dulu ini boleh ditemui di pusat beli-belah MyTown, Cheras, Kuala Lumpur.


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, makanan ringan seperti keropok, gula-gula atau biskut dimakan sekadar untuk mengalas perut kerana ia tidak mengenyangkan.

Pemilik Childhood Memory Lane, Lim Team Team, 25, berkata, kedai berkenaan mula beroperasi di MyTown sejak Mac 2017. Namun, sebelum itu sebuah kios telah dibuka di pusat beli-belah IOI City, Putrajaya sejak dua tahun lalu.

“Dahulu semasa ingin memulakan perniagaan, saya berfikir perniagaan yang diusahakan mestilah berkaitan dengan perniagaan keluarga supaya mereka boleh memberi tunjuk ajar.

“Tetapi oleh kerana tidak mahu terlalu sama dengan pernigaan bapa yang mempunyai kedai runcit, saya membuat tiga senarai perniagaan iaitu menjual snek, waffle dan perniagaan secara online,” ujar anak kedua daripada empat beradik itu. Team Team merupakan pemegang Ijazah Perakaunan dari Kolej Universiti Antarabangsa Sedaya (UCSI).

Tambah gadis berasal dari Kajang, Selangor itu, tawaran membuka perniagaan menjual snek di IOI City tiba lebih awal, oleh kerana tidak mahu melepaskan peluang, dia bertekad menjalankan perniagaan menjual makanan ringan.

Terhad


PERMAINAN tikam antara yang paling popular di kedai Childhood Memory Lane.


Dia tidak menolak tawaran tersebut kerana ketika itu diberi peluang membuka kios di tingkat bawah yang mempunyai potensi untuk dilihat serta dikunjungi pelanggan.

Perniagaan Childhood Memory Lane turut diusahakan bersama rakan niaga Choo Chiang Tung, 24.

Menurut Chiang Tung, pada awal perniagaan mereka hanya menjual snek yang ada pada zaman kini seperti kek Apollo, snek Super Ring dan biskut.

Snek-snek itu boleh didapati di mana-mana tetapi ada kalangan antara pelanggan mereka mencadangkannya supaya menjual jajan dahulu yang sukar didapati.

Selepas beberapa pelanggan memberi cadangan yang sama, Team Team dan Chiang Tung mula mengambil serius mengenai idea berkenaan. Mereka melakukan kajian dan bertanya kepada mereka yang berpengalaman tentang jajan dulu-dulu.

“Kami sering ke Pulau Pinang, Perak, Melaka dan Johor. Di negeri-negeri ini masih ada orang yang membuat makanan ringan seumpamanya tetapi pengeluarannya amat terhad. Individu yang membuat itu pun sudah sangat tua dan tiada siapa yang mahu menyambung legasi berkenaan.

“Jadi kami ingin buat permintaan yang banyak pun sukar. Kami terpaksa ambil stok yang mana ada sahaja, itu pun dalam kuantiti sedikit-sedikit,” terangnya sambil memaklumkan mereka perlu sentiasa melakukan kajian dan pencarian snek lama bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Itulah cabaran terbesar yang perlu mereka hadapi dalam menjalankan perniagaan jajan lama. Selepas ini mereka bercadang ke Sabah dan Sarawak pula untuk mencari snek dulu-dulu. Kebanyakan produk-produk yang dijual Childhood memory Lane adalah pada era 1970-an.

Chiang Tung juga berkata, makanan yang paling mendapat permintaan adalah asam ketuk dan gula-gula kapas manakala permainan lama pula adalah kertas patung serta permainan tikam.

“Agak pelik apabila gula-gula kapas yang mendapat sambutan sedangkan manisan itu banyak dijual di pasar malam atau pesta ria. Mungkin kerana pembungkusan gula kapas masa dahulu yang lebih tradisional seperti dibalut dengan plastik dan tiada lebel yang membuatkan pelanggan menggemarinya,” ujar anak sulung daripada dua beradik itu.

Ditanya mengenai apakah kepuasan yang mereka peroleh, dengan pantas Chiang Tung yang memegang Ijazah Kewangan dari UCSI menjawab, kegembiraan pelanggan adalah kepuasan mereka.

Kepuasan


KEDAI pertama Childhood Memory Lane yang terletak di pusat beli-belah IOI City, Putrajaya.


Walaupun perniagaan itu tidak begitu menguntungkan mereka kerana jajan-jajan berkenaan tidak boleh dijual pada harga terlalu tinggi, tetapi pihaknya berasa puas apabila ada kalangan antara pelanggan yang memberikan respons kewujudan Childhood Memory Lane dapat mengimbau kenangan zaman kanak-kanak mereka.

“Malah, ada juga pelanggan yang sudah berusia 70-an memberitahu, ada antara snek yang dijual pada 1960-an masih boleh didapati di kedai kami.

“Tidak kurang juga ada yang memberi cadangan dan idea di lokasi yang masih menjual jajan lama berkenaan. Kami tidak akan melepaskan peluang untuk ke tempat yang dinyatakan,” jelasnya sambil memaklumkan mereka tidak mahu perniagaan itu sekadar mengikut arus semasa. Jajan tersebut dijual bermula dari RM2 hingga RM12.90.

Pelan jangka panjang mereka, jika ada antara jajan sudah tidak dapat dihasilkan lagi, mereka ingin mencuba membuat sendiri namun semuanya masih dalam perancangan.

Adakah mereka ingin memperluaskan perniagaan tersebut? Team Team menjelaskan, mereka ingin memfokus kepada perniagaan sedia ada terlebih dahulu.

“Oleh kerana produk yang dijual amat terhad pengeluarannya, kami ingin mengukuh dan mencari jalan supaya snek-snek dan permainan yang dijual dapat dikekalkan dalam tempoh jangka panjang sebelum memperluaskan perniagaan ini pada masa akan datang,” jelasnya.