Skim tabungan tawar hadiah perlu diperluas


PENAWARAN skim simpanan yang disertakan dengan hadiah dapat menggalakkan orang ramai untuk memulakan tabiat menabung. – Gambar hiasan


JUMAAT lalu, Kosmo! melaporkan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun telah terpilih sebagai pemenang Cabutan WOW! 20 Tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diadakan pada hari sebelumnya.

Pada cabutan tersebut, Kamal Irfan Aqeef Kamal yang merupakan murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) King George V, Ampangan di Seremban, Negeri Sembilan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM10,000.

Ternyata, keputusan ibunya, Norjinda Mohd. Danial, 39, membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) atas nama anaknya itu pada September lalu membawa tuah kepada murid tersebut.

Walaupun tabungan itu bukan dilakukan sendiri oleh kanak-kanak tersebut, namun amalan tersebut telah diserapkan oleh ibunya dengan harapan ia menjadi ikutan Kamal Irfan Aqeef sepanjang hidupnya.

Secara dasarnya, jika kita bercakap mengenai tabiat menabung, pasti ramai yang bersetuju bahawa ia merupakan sikap yang positif dan perlu dilakukan oleh semua orang tanpa mengira usia.

Sama ada muda atau tua, menabung akan memberi manfaat yang besar kepada seseorang individu kerana wang yang tersimpan boleh digunakan untuk keperluan pada waktu-waktu kecemasan, ataupun ketika hari tua.

Walaupun menyedari faedah dan kepentingan menabung, namun masih ada dalam kalangan anggota masyarakat yang tidak melakukannya atas pelbagai faktor.

Antara sebab paling utama ialah pendapatan yang diperoleh setiap bulan hanya cukup untuk perbelanjaan sendiri atau seisi keluarga.

Lebih parah lagi apabila jumlah pendapatan tersebut tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan sehingga ada antara individu yang terpaksa mengikat perut atau melakukan pekerjaan lain bagi menambah pendapatan sementara menunggu gaji seterusnya.

Ketika kecil

Mengulas mengenai perkara berkenaan, Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad ketika dihubungi berkata, sememangnya tabiat menabung perlu dijadikan amalan ketika seorang individu itu masih kecil iaitu seawal usia empat hingga enam tahun.

Ini kerana jelasnya, golongan kanak-kanak pada lingkungan usia berkenaan mudah menerima dan mengikuti apa sahaja bentuk tingkah laku orang di sekelilingnya.

“Jika orang di sekeliling mereka terutamanya ahli keluarga mengamalkan tabiat menabung, secara tidak langsung kanak-kanak akan terikut tabiat tersebut.

“Malah, secara psikologinya, jika sesuatu tingkah laku atau perbuatan itu diulang-ulang atau dilakukan secara berterusan, ia akan menjadi latihan dan peneguhan agar dapat dikekalkan sehingga kanak-kanak tersebut dewasa,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan pihak PTPTN memperkenalkan SSPN-i yang disertakan dengan cabutan bertuah sebagai hadiah kepada penabung, Fauziah berkata, skim seperti itu perlu diperluas dan dilaksanakan oleh pelbagai pihak di negara ini.

Malah katanya, Bank Simpanan Nasional (BSN) turut melaksanakan langkah yang serupa apabila menawarkan Skim Simpanan Premium BSN dengan ganjaran meliputi pelbagai hadiah kepada pelabur.

Jelasnya, penawaran skim simpanan yang disertakan dengan hadiah dalam bentuk cabutan bertuah sememangnya dapat menarik minat para pelabur khususnya golongan ibu bapa dan remaja untuk menabung.

Malah katanya, tawaran hadiah kepada pelabur juga boleh dipelbagaikan bagi membolehkan orang merebut peluang untuk melakukan pelaburan bagi memperoleh peluang mendapat hadiah yang ditawarkan.

Digalakkan

Dalam pada itu, Penceramah Radio dan Televisyen, Ustaz Ahmad Dusuki Abd. Rani pula memberitahu, amalan memberikan hadiah sebagai galakan kepada orang ramai untuk menabung adalah satu perkara yang tidak bercanggah dengan Islam.

“Allah sendiri menawarkan ganjaran kepada setiap umatnya yang berbuat kebaikan dan paling bernilai ialah syurga.

“Oleh itu, tidak salah jika pihak perbankan atau pihak lain menawarkan ganjaran berupa hadiah untuk menarik minat orang ramai menabung kerana tabiat menyimpan untuk kegunaan masa depan sememangnya digalakkan dalam Islam,” katanya.

Jelas beliau, orang ramai sepatutnya menggunakan peluang yang disediakan oleh institusi pendidikan termasuk menyertai mana-mana skim tabungan yang menawarkan hadiah kerana ia mampu menjadi daya penarik untuk seseorang individu itu memulakan tabiat menabung.