Perkasa bisnes durian

BISNES durian mampu menjana sumber pendapatan kepada petani.


DURIAN merupakan antara buah tempatan yang mempunyai nilai tinggi di pasaran.

Digelar Raja Buah, gabungan pelbagai rasa antara manis, lemak dan berkrim menjadikan ia antara buah-buahan kegemaran pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Ia turut menggamit rasa ingin tahu dalam kalangan masyarakat antarabangsa lebih-lebih lagi kepada pengeluaran klon terutamanya Musang King.

Pengeluaran durian klon dan bermutu tinggi dijangka meningkat daripada 22 peratus kepada 30 peratus setahun.

Populariti buah berduri itu juga menyebabkan permintaannya semakin meningkat sama ada di dalam atau luar negara.

Perkembangan itu memerlukan suatu perancangan yang jitu dan menyeluruh bagi memenuhi permintaan pasaran.

Produktiviti

Sejak Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) diwujudkan, negara menyasarkan peningkatan pengeluaran buah-buahan daripada 1.8 juta tan metrik pada tahun 2010 kepada 2.6 juta tan metrik pada tahun 2020 dengan kadar pertumbuhan 3.8 peratus.

Sementara itu, produktiviti kawasan berhasil pula dijangka meningkat daripada 9.6 tan metrik sehektar pada tahun 2010 kepada 12.9 tan metrik sehektar pada tahun 2020 dan eksport buah-buahan daripada 830,000 tan metrik pada tahun 2010 kepada 1.04 juta tan metrik pada tahun 2020.

Tumpuan jelas diberikan kepada peningkatan produktiviti dan pengeluaran, terutamanya kepada pengeluaran durian klon Musang King. Dijangkakan, pengeluaran durian klon dan bermutu tinggi meningkat daripada 22 peratus kepada 30 peratus.

Di bawah inisiatif Sumber Kekayaan Baharu, Jabatan Pertanian akan mengadakan Program Pembangunan Industri Durian yang menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membangunkan industri durian secara menyeluruh.

Langkah itu melibatkan pembukaan kawasan baharu, pembangunan kawasan sedia ada hingga kepada aktiviti pengeksportan ke luar negara.

Tumpuan juga diberikan dalam penghasilan pokok durian yang mengeluarkan hasil lebih cepat dan berkualiti melalui program cantuman dewasa.

Secara tidak langsung, ia dapat memberi peluang pekerjaan kepada petani di negara ini.


AHMAD Shabery (tengah) telah mengilhamkan Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning, China baru-baru ini bagi mempromosikan buah durian.


Selain itu, jabatan juga akan membantu dalam memberi insentif kepada syarikat swasta atau koperasi dalam membangunkan semula kawasan tanah terbiar.

Melalui Majlis Eksport Makanan dan Pertanian (FACE), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama pihak jabatan dan agensi berkaitan telah menggerakkan usaha ke arah mempromosi produk pertanian dan eksport Malaysia ke pasaran global.

Majlis itu ditubuhkan dengan matlamat untuk memudahkan pembangunan hasilan pertanian tempatan bagi pasaran eksport, mengenal pasti strategi pemasaran eksport pengeluaran dan produk pertanian serta mewujudkan kerjasama strategik dengan mana-mana badan atau agensi yang mempunyai objektif sama seperti FACE.

Kemudahan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pembungkusan juga akan terus dinaik taraf bagi memenuhi standard piawaian eksport ke luar negara.

Sehingga kini, sebanyak 19 buah syarikat tempatan telah mendapat pengiktirafan daripada Administration of Quality Supervision, Inspection and Quarantine (AQSIQ), sebuah agensi dari China yang mengawal selia kualiti, keselamatan, pensijilan, pemeriksaan dan kuarantin bahan makanan, haiwan dan tanaman di pintu masuk negara berkenaan.

Eksport

Menerusi langkah itu, durian dapat dieksport ke China dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memenuhi permintaan pasaran di negara tersebut.

Festival Durian Malaysia 2017

yang berlangsung baru-baru ini misalnya, merupakan ilham Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery selepas bertemu Naib Gabenor Wilayah Guangxi pada November tahun lalu.

Biarpun kali pertama dianjurkan, festival selama tiga hari itu mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat setempat termasuk merasai sendiri keenakan Mau Shan Wang atau Musang King.

Menurut Shabery, langkah seterusnya ialah menyediakan petani dan usahawan tempatan di bawah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan badan berkaitan lain di Malaysia bagi menghadapi permintaan tinggi serta mencapai sasaran RM12 bilion menjelang 2020.