Gempa bumi kuat gegar Iran, Iraq

REUTERS - SEBUAH bangunan runtuh di Darbandikhan, dekat Sulaimaniyah, Iraq susulan gempa bumi kuat kelmarin.


BAGHDAD/TEHERAN – Sekurang-kurangnya 354 orang maut di Iran dan Iraq apabila gempa bumi kuat bermagnitud 7.3 pada skala Richter menggegarkan rantau itu kelmarin, lapor media kedua-dua negara ketika pasukan penyelamat berusaha mencari puluhan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan di kawasan pergunungan.

Stesen televisyen Iran me­laporkan, lebih 348 orang terkorban di negara itu, manakala sekurang-kurangnya 6,668 yang lain cedera.

Pegawai-pegawai tempatan berkata, angka kematian dijangka meningkat selepas pasukan mencari dan menyelamat tiba di kawasan pedalaman di Iran.

Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, gempa bumi itu berukuran 7.3 pada skala Richter, manakala agensi meteorologi Iraq melaporkan kekuatannya ialah 6.5.

Gempa itu berpusat di Penjwin dalam wilayah Sulaimaniyah, rantau Kurdistan dekat sempadan Iran.

Pegawai kesihatan Kurdis berkata, sekurang-kurangnya enam orang terbunuh di Iraq dan kira-kira 68 lagi cedera.

Gempa kelmarin dirasai hingga ke selatan Baghdad yang menyaksikan ramai penduduk keluar dari rumah dan bangunan tinggi untuk menyelamatkan diri.

REUTERS - SEBUAH bangunan runtuh di Darbandikhan, dekat Sulaimaniyah, Iraq susulan gempa bumi kuat kelmarin.


“Saya sedang duduk menikmati makan malam bersama anak-anak dan tiba-tiba, bangunan kediaman kami seakan ‘menari di udara’.

“Saya mulanya menyangka letupan kuat berlaku. Namun, orang di sekeliling menjerit gempa bumi!,” kata Majida Ameer yang meluru keluar dari bangunan tempat dia tinggal bersama tiga anaknya di daerah Salihiya, Baghdad.

Di Iran pula, gegaran dirasai di beberapa wilayah di barat negara itu tetapi kawasan paling teruk terjejas ialah Kermanshah yang mengumumkan tempoh berkabung selama tiga hari.

Lebih 236 mangsa yang maut berada di daerah Sarpol-e Zahab, Kermanshah, kira-kira 15 kilometer dari sempadan Iraq.

Stesen televisyen Iran berkata, gempa itu menyebabkan kerosakan besar di beberapa buah kampung di mana kediaman penduduknya dibina daripada bata tanah.

Pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan.

Gempa itu turut menyebabkan tanah runtuh yang menghalang usaha menyelamat, kata beberapa pegawai kepada stesen radio tempatan.

Menurut media Iran pula, sekurang-kurangnya 14 wilayah di negara itu terjejas dalam bencana kali ini.

Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengucapkan takziah semalam dan menggesa semua agensi kerajaan supaya melakukan apa yang termampu bagi membantu penduduk terjejas. Pusat Seismologi negara itu merekodkan sekitar 153 gempa susulan. Lebih 70,000 orang memerlukan tempat perlindungan sementara, kata Persatuan Bulan Sabit Merah Iran. – Reuters