Sharifah Sakinah bukan wanita ‘bimbo’




Tentunya ramai dalam kalangan khalayak pernah atau setidak-tidaknya tahu tentang drama komedi Girlfriend Aku Dari Neraka yang pernah popular beberapa bulan lalu. Pastinya antara adegan yang masih segar dalam ingatan penonton ialah teletah lucu watak Lidya.

Dilakonkan dengan cemerlang, Lidya ialah karakter seorang wanita ‘bimbo’ yang sering menimbulkan huru-hara kerja lakonan Sharifah Sakinah. Dalam ‘kamus’ generasi baharu, bimbo merupakan gambaran wanita muda yang menarik tetapi kurang kematangan.

Bukan itu sahaja, wanita yang begitu popular dengan karakter bersahaja dan suka melawak ketika di luar drama menguatkan lagi tanggapan penonton bahawa pemilik nama Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired secara realitinya benar-benar berperwatakan sedemikian.

“Jangan panggil saya ‘bimbo’. Saya memang marah sangat jika ada peminat yang melabelkan saya sedemikian.

“Fungsi saya dalam dunia hiburan ini bukan ‘bimbo’ semata-mata. Selepas ini saya tidak mahu lagi mengambil karakter sebegitu” tegasnya yang ditemui semasa majlis pelancaran duta produk penjagaan kulit Natasha di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ironinya, Sakinah bukanlah ‘gila-gila’ seperti disangka. Tegas wanita itu, dia hanya menjayakan watak seperti yang diberi oleh pengarah, Dira Abu Zahar.

Namun, sebagai seorang pelakon, akui Sakinah, dia tetap tidak boleh lari daripada membawakan karakter berunsurkan komedi.

Berkongsi perkembangan terkini, Sakinah kini sibuk di lokasi penggambaran drama Suamiku Mat Piun lakonan bersama Along Raja Lawak dan Mark Adam.

“Seperti kita tahu, penonton begitu menyukai trend drama adaptasi daripada novel cinta yang memaparkan hero kacak dan heroin cantik. Drama Suamiku Mat Piun pula merupakan parodi terhadap naskhah sedemikian.

“Ia mengisahkan seorang wanita yang terlalu taksub dengan novel cinta, hakikatnya suaminya hanya seorang Mat Piun atau kerani penghantar surat.

“Sudah namanya parodi, drama ini juga merupakan drama komedi pada jalan ceritanya. Namun, saya tidak akan buat lawak slapstick atau menjadi lurus bendul untuk menaikkan unsur komedi,” terangnya panjang lebar.

Terus rancak berbicara, ibu muda berusia 28 tahun itu kemudian diajak berkongsi perkembangan terkini puteri sulungnya Anais Adha yang kini berusia enam bulan.

Melemparkan senyuman sebelum menjawab, Sakinah memberitahu, biarpun Anais masih bayi namun dia begitu bersyukur kerana buah hatinya itu sangat memahami kerjaya seninya yang sentiasa sibuk.

“Kerja saya memang sibuk, adakalanya keluar pagi dan balik pagi keesokan hari. Tetapi, Anais dijaga oleh ibu mertua dan seorang pembantu rumah yang sangat menyayanginya.

“Mujur anak saya macam memahami. Setiap hari sebelum keluar, saya akan bercakap dan menerangkan kepadanya bahawa saya keluar bekerja. Pernah juga saya tidak sempat bercakap, pada hari itu dia akan meragam dan menangis seharian,” kongsinya.

Anak


ANAK - Sakinah dan anaknya, Anais Adha.


Tambah pelakon drama Perang Otai Andam itu lagi, biarpun terlalu sibuk dengan kerjaya namun sebagai ibu, dia tidak pernah sekali-kali mengabaikan tanggungjawab.

Ujarnya, pembahagian masa yang baik sangat penting dalam membantu proses pembesaran Anais.

“Sebenarnya sejak berada dalam tempoh berpantang lagi saya sudah sibuk dan terpaksa meninggalkan Anais bersama ibu mertua. Perkara itu memang dipupuk sejak kecil agar dia terbiasa dengan situasi ibunya.

“Begitu pun, tetap ada waktu saya akan meluangkan masa bersama Anais. Kadangkala kami sekeluarga akan keluar bercuti dan ketika itu saya akan menutup telefon bimbit dan menumpukan sepenuh perhatian bersama keluarga,” tuturnya.

Menyambung bicara, Sakinah turut ditebak perihal tindakannya melakukan aktiviti kecergasan di gimnasium ketika dalam tempoh berpantang suatu ketika dahulu. Pendek kata, setiap perbuatannya pasti mengundang komen negatif netizen.

Mengamalkan sikap optimis, sebagai anak seni Sakinah tidak mahu cepat melatah. Dia sebaliknya menukar segala kritikan negatif tersebut menjadi teguran positif.

“Kalau buat benda baik pun netizen akan mengata. Sebagai anak seni, saya tidak boleh merungut dan marah kerana ini merupakan pilihan saya untuk berada dalam industri ini.

“Saya anggap ia tanggungjawab dan cabaran. Paling utama, saya tahu batasan diri dan sebaiknya ambil kritikan itu sebagai perkara positif,” terangnya.

Penjagaan wajah


BERSYUKUR - Sakinah bersyukur anaknya Anais Adha sangat jarang meragam seolah-olah memahami jadual kerjayanya yang sibuk walaupun masih bayi.


Dipilih menjadi duta produk penjagaan kulit Natasha By Dr. Fredi Setyawan yang diasaskan negara Indonesia, antara yang mengejutkan, Sakinah membuat pendedahan tidak pernah menggunakan sebarang produk penjagaan kulit sepanjang usianya.

Ujar wanita yang begitu mementingkan penjagaan kesihatan diri itu, dia hanya menggunakan tisu basah untuk menanggalkan solekan kemudian membilas dengan air.

“Definisi cantik bagi saya ialah kesihatan. Apabila sihat dalaman, secara langsung ia membawa kepada kecantikan luaran. Tidak perlu pipi merah atau hidung mancung baru cantik.

“Setiap hari saya pasti akan berlari di atas treadmill sekurang-kurangnya 30 minit. Saya percaya apabila berpeluh ia akan menyingkirkan toksik daripada badan kita,” dedahnya.

Rutin tersebut dijalani Sakinah sehinggalah masalah jerawat yang menyerang wajahnya sekitar awal tahun lalu membuatkan dia terpaksa melanggar peraturan diri. Dia akhirnya mencuba produk yang ditawarkan dari negara seberang itu.

“Sejujurnya saya banyak menolak tawaran untuk menjadi duta produk kecantikan kerana kurang percaya dengan teknik pemasaran mereka. Namun, selepas mengalami masalah jerawat yang teruk, saya rasa terbuka untuk menerima tawaran daripada Natasha.

“Saya mengambil masa selama empat bulan mencuba produk ini sebelum bersetuju menjadi duta. Saya perlu mencuba terlebih dulu produk ini sebelum berkongsi kebaikan dengan orang lain,” katanya panjang lebar.

Sakinah turut mencadangkan agar sebuah pusat kecantikan produk berkenaan dibuka di Bangsar bagi memudahkan pengguna tempatan mendapatkan maklumat dan urusan jual beli.

Dalam pada itu, dia turut memperkenalkan cabaran sebulan tanpa solekan seperti yang dicanangkan menerusi Instagram miliknya.

“Cabaran ini sudah bermula sejak dua minggu lalu. Jika dilihat saya memang jarang tampil dengan solekan yang tebal dalam mana-mana majlis.

“Saya mahu menimbulkan kesedaran dalam kalangan wanita agar tampil berkeyakinan biarpun tanpa solekan seperti yang dilakukan oleh penyanyi Alicia Keys,” terangnya seraya menutup bicara.