Mus May alami masalah hilang ingatan sementara


Foto MOHD. NOOR MAT AMIN & IHSAN FACEBOOK MUS


TANGGAL 3 Julai lalu pastinya menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan buat vokalis kumpulan May, Mus apabila terpaksa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengalami demam panas.

Pemilik nama Mustaffa Din, 49, itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Ampang dan terpaksa dirawat dalam keadaan koma selama sembilan hari selepas doktor mengesahkan dia menghidap penyakit Thrombotic thrombocytopenic purpura (TTP).

TTP atau penyakit yang disebabkan kurangnya enzim yang terlibat dalam proses pembekuan darah itu membuatkan Mus terpaksa ditahan selama 35 hari di hospital.

Biarpun sudah tiga bulan tragedi tersebut berlalu, penyanyi yang popular dengan lagu Sendiri itu kini mengalami masalah hilang ingatan dalam tempoh sementara.

Ikuti temu bual bersama Mus ketika ditemui pada Festival SoundValley 2017 yang berlangsung meriah di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) baru-baru ini.

KOSMO!: Apa khabar Mus. Jika tidak keberatan boleh kongsikan sedikit mengenai penyakit yang menyerang anda sekitar bulan Julai lalu?

MUS: Alhamdulillah, keadaan saya semakin sihat dan stabil sekarang. Doktor mengesahkan saya menghidap penyakit TTP yang disebabkan kekurangan protein dalam sel darah putih. Bagi merawat penyakit berkenaan, doktor terpaksa meletakkan saya dalam keadaan koma. Saya menjalani proses rawatan plasma exchange dengan mengeluarkan sel darah putih dalam badan dan kemudian dimasukkan sel darah baharu sebanyak 400 beg.

Difahamkan anda mengalami masalah lupa ingatan untuk tempoh sementara waktu kesan daripada penyakit berkenaan, adakah ia benar?

Ya betul, memang kesan daripada ubat dan penyakit berkenaan membuatkan saya sukar mengingati perkara yang berlaku dalam tempoh satu atau dua tahun sebelum ini. Mengikut doktor, kesan ini akan berlarutan selama enam bulan. Buat masa ini saya baru sahaja tiga bulan sembuh daripada penyakit berkenaan.

Boleh berikan contoh perkara yang membuatkan anda sukar ingat?

Sebaik sedar daripada koma, saya langsung tidak dapat mengingati siapa yang datang menziarah. Saya sukar mengingati nama dan di mana saya mengenali mereka. Saya juga tidak dapat mengingati perkara berkaitan teknikal seperti wayar-wayar yang banyak di dalam studio rakaman, penggunaan komputer serta arah jalan. Begitu pun saya bersyukur kerana daya ingatan semakin menunjukkan perkembangan positif selepas mendapatkan rawatan susulan.

Badan anda juga kelihatan semakin kurus, adakah ia berpunca dari kesan penyakit tersebut?

Berat badan saya susut kerana disarankan untuk menjaga pemakanan. Berat asal saya adalah 62 kilogram (kg), namun kini susut menjadi 56 kg. Doktor menasihatkan agar saya mengurangkan makanan pedas dan mengelakkan pengambilan sayur mentah seperti ulam kerana ia boleh mengakibatkan darah menjadi pekat.

Ekoran daripada penyakit ini, adakah ia akan membataskan pergerakan aktiviti seni anda?

Tidak juga. Mujur saya masih mampu mengingati lirik lagu-lagu May. Faktor itu mungkin disebabkan kerana lirik dan melodi berkenaan sudah melekat dalam fikiran saya sejak sekian lama. Saya juga tidak bercadang untuk mengurangkan aktiviti seni, semuanya bergantung kepada keadaan.

Boleh kongsikan sedikit mengenai persembahan anda dalam Festival SoundValley yang berlangsung?

Saya mendendangkan lapan buah lagu untuk persembahan pada malam tersebut. Sebenarnya, ini merupakan persembahan pertama bersama kumpulan May selepas hampir lima bulan saya sakit. Jika sebelum ini saya beri sepenuh tenaga dalam persembahan, tetapi pada hari persembahan, saya perlu kawal sedikit. Saya tidak mahu terlebih penat kerana tidak tahu bagaimana keadaan kesihatan sepenuhnya.

Anda belum sihat sepenuhnya tetapi sudah keluar bekerja seperti biasa. Mengapa melakukan tindakan sedemikian?

Sejak dahulu saya memang orang yang suka bekerja. Selagi keadaan kesihatan dan fizikal tiada masalah, saya akan terus bekerja seperti biasa. Selagi rasa stabil, saya akan terus menyanyi seperti biasa. Lebih baik aktif begini kerana saya tidak mahu melayankan sakit. Bimbang jika terlalu memikirkan keadaan diri yang kurang baik, nanti ia akan melarat. Jadi baik saya keluar bekerja.