Polis buru 10 gengster Geng 04




GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang memburu 10 ahli Geng 04 yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah berat membabitkan ke­salahan membunuh, rompak dan pemerasan di sekitar negeri ini sejak beberapa tahun lalu.

Suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes-kes tersebut ialah T. Kalai Chelvan, 28; T. Sangaran, 35; S. Surentheren, 30; A. Guganesh, 36; Mohd. Firdaus Mohd. Abd. Rahim, 33; K. Dineskumar, 21; M. Nithiyanantham, 24; M. Partiben, 29; G. Guhentiran, 23, serta seorang remaja bawah umur berusia 17 tahun.

Difahamkan, kebanyakan daripada suspek tersebut dikatakan bekerja sendiri dan berniaga.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya memburu saki-baki Geng 04 selepas 18 daripada mereka yang berusia 23 hingga 54 tahun itu diberkas dalam Op Cantas Jenayah Te­rancang selama dua hari pada hujung bulan lalu.

“Daripada jumlah yang ditangkap, hanya sepuluh lagi suspek masih diburu termasuklah seorang remaja lelaki bawah umur. Kita percaya mereka masih berada di negara ini.

“Siasatan mendapati, kesemua suspek terbabit disyaki terlibat dalam jenayah kekerasan seperti mendatangkan cedera parah, rompakan, pemerasan, bunuh dan pengedaran dadah,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, dalam tangkapan pada 30 Oktober lalu di sekitar negeri ini, polis turut merampas wang tunai, jam tangan, minuman keras, barangan kemas, dan enam buah kereta yang kesemua dianggarkan bernilai RM708,403.

Zainol memberitahu lagi, kesemua suspek yang ditahan kini direman selama 28 hari sehingga 28 November ini di bawah Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, jelas beliau, polis telah mengedarkan gambar-gambar wajah dan identiti suspek yang sedang diburu untuk siaran media bagi membantu melancarkan operasi tangkapan.

Pihaknya turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek yang diburu agar menghubungi pihak polis yang terdekat atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Norirwan Shah Bolhassan di talian 019-9464 563.