Polis tidak akan kompromi


MAZLAN (tengah) memeriksa barisan anggota polis yang berbaris pada Perhimpunan Bulanan Pertama Ketua Polis Kuala Lumpur di IPK Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur tidak menolak kemungkinan masalah komunikasi menjadi punca sekumpulan lelaki warga China menyerang sepasukan anggota polis yang cuba memeriksa sebuah premis disyaki menjalankan kegiatan judi di Jalan Abraham Off Jalan Khoo Teik Ee, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya memandang serius kejadian tersebut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Kita tidak menolak kemungkinan masalah komunikasi menjadi punca kejadian tetapi siasatan lanjut masih dijalankan.

“Bagaimanapun, tindakan mereka itu disifatkan tidak wajar kerana menghalang tugas anggota polis dan kita tidak akan berkompromi,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perbarisan sempena Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini semalam.

Kesemua lapan lapan suspek warga China termasuk dua wanita ditahan reman selama tiga hari sehingga hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 147/363 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rusuhan dan Seksyen 6, Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kosmo! semalam melaporkan, kejadian yang berlaku pada pukul 10.37 malam itu bermula apabila tujuh anggota pasukan rondaan cegah jenayah melakukan pemeriksaan selepas menerima maklumat mengenai pekerja kontrak bermain judi di halaman beberapa buah rumah kongsi di kawasan tersebut.

Sekumpulan kira-kira 20 hingga 30 lelaki warga China itu yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 40-an kemudian melakukan serangan terhadap anggota polis tanpa menggunakan senjata selepas menyedari kehadiran mereka.

Anggota polis dari Balai Polis Tun H.S. Lee itu terpaksa melepaskan empat das tembakan ke udara sebagai tanda amaran selain untuk mempertahankan diri.