Layanan 5 bintang buat tetamu miliki berat lebih 115kg

SEKUMPULAN golongan obes bercuti bersama di sebuah resort di Pulau Eleuthera di Bahamas.


“MASALAH kegemukan menyebabkan kami rasa terasing dan malu untuk bercampur dengan orang ramai.

“Namun, di sini ia merupakan satu destinasi paling sempurna bagi golongan obes yang mengalami masalah keyakinan diri,” jelas Alice Young, 32, yang merupakan salah seorang pengunjung sebuah resort khas untuk golongan obes.

Baginya, resort itu merupakan sebuah penginapan menakjubkan kerana menyedari masalah mereka yang mengalami masalah kegemukan.

Dibuka sejak dua tahun lalu, sebuah resort di Bahamas, dipercayai menjadi satu-satunya tempat penginapan di dunia yang hanya menawarkan kemudahan itu kepada golongan obes.

Resort berbentuk rumah dua tingkat itu yang terletak di Pulau Eleuthera dibina khas untuk pengunjung obes yang memiliki berat badan antara 115 kilogram (kg) sehingga 190kg.

Ia dibina bagi memberi peluang kepada golongan berkenaan yang sering trauma untuk bercuti memandangkan kebanyakan resort tidak menyediakan kemudahan yang mampu menampung berat mereka.

Ia kelihatan seolah-olah seperti resort tepi laut untuk para pelancong.

Namun secara spesifik, resort itu dibina khas untuk mereka yang obes.

Obesiti didefinisikan sebagai lemak badan berlebihan. Punca berlakunya masalah ini adalah disebabkan pengambilan pemakanan yang tidak seimbang serta kurangnya melakukan aktiviti fizikal. Selain itu, peningkatan umur juga menyebabkan kadar metabolisme menurun.

Indeks Jisim Tubuh (BMI) merupakan kaedah yang digunakan bagi mendapatkan data asas tahap kegemukan seseorang.

Pemilik resort tersebut, James King berkata, ia merupakan satu-satunya tempat penginapan di pulau itu dibina untuk menerima tetamu yang memiliki berat melebihi 115kg.

Kesemua kemudahan di bilik dan restoran di resort tersebut telah diubah suai selaras dengan saiz mereka yang obes. Setiap pintu dibina dengan lebih lebar selain kerusi diperbuat daripada kayu berkualiti tinggi.

“Kebanyakan katil pula dihasilkan dengan konkrit bertulang setinggi lima sentimeter, sekali gus membolehkan pengunjung yang gemuk tidak perlu bimbang mengenai risiko perabot patah,” jelasnya.

Resort itu juga menyediakan hidangan bufet untuk sarapan, makan tengah hari dan malam sesuai dengan golongan tersebut yang memiliki selera tinggi.

Antara hidangan yang ditawarkan termasuklah menu Caribbean dan Amerika.

Sementara itu, James King memberitahu agensi berita The Independent bahawa beliau mendapat idea untuk membuka resort tersebut sekitar 14 tahun lalu.

“Ketika itu saya merupakan pengarah urusan di sebuah hotel di Grenada. Saya melihat ramai tetamu yang obes merosakkan kerusi di pantai.

“Dasar hotel menetapkan mereka yang merosakkan kemudahan atau harta benda yang disediakan akan dikenakan denda sebanyak AS$150 (RM630).

Privasi


Berkayak antara aktiviti yang ditawarkan di resort Pulau Eleuthera.


“Namun, di sini mereka yang obes boleh datang bercuti tanpa dikenakan sebarang penghakiman jika berlaku kerosakan harta benda tanpa disengajakan,” jelasnya.

Privasi pengunjung di situ dijamin dan ia merupakan pantai persendirian.

Resort itu juga hanya terbuka kepada kumpulan persendirian yang boleh memuatkan 24 orang pada satu-satu masa.

Baru-baru ini resort itu telah dikunjungi oleh peserta program ITV, Club 19-30 Stone Holiday yang membabitkan sekumpulan pelancong obes dari Britain.

Seramai lapan orang peserta yang mengalami berat badan berlebihan telah diterbangkan ke pulau itu. Pasangan suami isteri, Adam dan Ami Flahery merupakan sebahagian peserta daripada kumpulan itu.

Ami menjelaskan, dia berasa malu kerana insiden tersebut telah merosakkan percutian bulan madunya di Mesir.

“Ketika bercuti di Mesir saya telah mematahkan kerusi plastik dan orang sekeliling mentertawakan saya. Saya berasa amat malu dan merasa seperti dunia menelan saya,” katanya.

Namun, di resort tersebut dia boleh melompat ke kolam renang dan tidak perlu risau besar mana sekalipun percikan air yang terhasil.

“Saya juga boleh berbaring dan berjemur di atas kerusi yang diperbuat daripada kayu yang kuat, jadi saya tidak perlu risau risiko saya akan mematahkannya.

“Apabila anda tahu ada sebuah hotel yang dibina khas untuk orang bersaiz besar, anda tidak perlu bimbang bahawa harta benda yang rosak dan sebagainya. Di sini kami boleh berehat dengan tenang,” katanya.

Kos yang diperlukan untuk menginap di resort itu adalah sekitar AS$16,400 (RM69,000) selama enam hari. Harga tersebut untuk 24 orang meliputi makanan dan pengangkutan dari lapangan terbang.

Dalam pada itu, obes merupakan salah satu masalah yang mengancam penduduk dunia pada masa kini.

Setiap negara berdepan dengan masalah ini dan jumlah penduduk dunia yang obes juga dianggarkan meningkat setiap tahun.

Kanak-kanak dan remaja berumur antara lima hingga 19 tahun yang obes di seluruh dunia telah meningkat 10 kali ganda sejak empat dekad lalu.

Berdasarkan kajian Kolej Imperial London dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jika trend ini berterusan, lebih ramai kanak-kanak akan berdepan dengan masalah berat badan berlebihan pada tahun 2022.

Kajian itu menganalisis ukuran berat dan ketinggian daripada hampir 130 juta orang. Lebih 100 penyelidik menyumbang kepada kajian itu melihat indeks jisim badan (BMI) dan menjangka bagaimana obesiti telah mengubah dunia sejak tahun 1975 hingga 2016.

Isu keselamatan


KERUSI yang disediakan di kolam renang ini diperbuat daripada kayu bermutu tinggi dan tidak mudah patah.


Kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dunia juga meningkat kepada hampir enam peratus pada tahun 2016 berbanding satu peratus pada 1975.

Kajian tersebut mendapati, bilangan penduduk dunia yang berumur antara lima hingga 19 tahun meningkat lebih 10 kali ganda daripada 11 juta pada tahun 1975 kepada 124 juta tahun lalu. Dalam pada itu, obesiti juga menjadi satu isu terhadap keselamatan negara.

Agensi berita US News melaporkan, kira-kira satu pertiga daripada golongan dewasa muda berusia antara 17 hingga 24 tahun tidak dapat memenuhi syarat untuk perkhidmatan ketenteraan kerana memiliki berat badan yang berlebihan di Amerika Syarikat (AS).

Bekas jeneral bersara Angkatan Bersenjata turut bimbang tentang masalah itu terhadap implikasi keselamatan negara.

“Sebagai penduduk di Kentucky, AS terdapat lebih 40 peratus golongan dewasa yang masih muda berhadapan dengan masalah itu. Kami perlu mengambil langkah khusus bagi menangani masalah ini,” jelasnya.