Melakar AR by Azirun Ramly sebagai satu jenama

Minat Azirun dalam dunia fesyen timbul setelah mula berkecimpung dalam bidang jahitan.


Menceburi bidang jahitan tidak pernah terlintas di fikirannya suatu ketika dahulu.

Segalanya disifatkan bermula sekadar mencuba nasib bagi memenuhi kehendak pasaran.

Pada awalnya, anak jati Kuala Lumpur, Azirun Ramly, 41, hanya terfikir untuk menceburi bidang kulinari selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan melakukan eksperimentasi sajian gastronomi.

Namun, segalanya terbantut apabila dia mula diterima masuk sebagai penuntut sijil kursus jahitan baju lelaki di Institut Kemahiran Baitulmal, Kuala Lumpur, 22 tahun dahulu.

Katanya, bakat itu dipupuk sejak mempelajari selok- belok menghasilkan pakaian sehingga timbul perasaan bahawa bidang fesyen ini merupakan keghairahan yang dicarinya selama ini.

Bangga


Kumpulan pemuzik Drama Band menggayakan busana yang dihasilkan Azirun pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 32 baru-baru ini.


“Apabila mula mempelajari sedikit sebanyak ilmu berkaitan jahitan baju lelaki, lama-kelamaan minat itu datang dengan sendirinya.

“Sesudah menceburi bidang ini, saya dapat rasakan perasaan bangga itu hadir saat pertama kali memakai baju yang dihasilkan sendiri.

“Lebih manis lagi bila saya dapat menjahit baju untuk seluruh ahli keluarga saya sendiri kerana saya dapat rasa kepuasan menjahit itu. Alhamdulillah,” tuturnya sambil menguntai senyuman.

Kongsi Azirun, dunia fesyen tanah air ketika itu tidak banyak yang memberi fokus kepada golongan muda.

Menjadi salah seorang pereka fesyen yang menyenaraikan perkhidmatan tersebut kepada pelanggannya, Azirun percaya ia dapat mengetengahkan konsep baharu kepada ikon golongan muda dua dekad lalu.

Jelas Azirun, mengimbau kenangan itu membuatkan dirinya berasa bangga kerana dapat berbakti dan mengubah nasib seluruh keluarganya.

Selepas menerima tempahan demi tempahan jahitan pakaian daripada pelanggan lelaki dan wanita, Azirun terus mengekalkan rentak dalam industri fesyen tanah air dengan membuka sebuah butik perkahwinan bersama rakan kongsinya pada tahun 2006.

Butik dinamakan Qaseh Aswana itu terletak di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur yang menawarkan perkhidmatan pakej perkahwinan, perunding perkahwinan serta menerima tempahan pakaian lelaki dan wanita.

Katanya, bagi mengekalkan relevan butik tersebut, Qaseh Aswana tampil dengan konsep berbeza.

Butik tersebut tidak menyediakan banyak koleksi baju pengantin, sebaliknya lebih menggalakkan pelanggan menempah baju dengan rekaan baharu yang pelbagai.

Rentaknya tidak terhenti setakat itu, sebaliknya Azirun memperluaskan lagi empayar dengan menambah baik mutu perkhidmatan menerusi imej baharu yang lebih segar.

Azirun tampil dengan labelnya sendiri iaitu AR by Azirun Ramly di bawah butik baharunya yang terletak di Maxim Citylights, Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini. Selaku pengarah dan ketua pereka fesyen AR by Azirun Ramly, Azirun menyifatkan pembukaan butik baharu itu adalah sebagai suatu kelahiran semula dalam kariernya.

“Sebagai seorang pereka fesyen yang mahu kekal relevan dalam industri dan perniagaan ini, kita perlu terus merancang dan bergerak seiring dengan permintaan semasa.

“Justeru, AR by Azirun Ramly adalah satu inisiatif dalam memperluaskan lagi karier saya dengan mempamerkan kelainan dari aspek kumpulan sasar serta konsep yang diketengahkan,” ujar anak bongsu daripada lapan adik-beradik itu.

Konsep butik


AR by Azirun Ramly kini turut menampilkan konsep busana sedia pakai.


Butik baharunya yang berkonsepkan bilik pameran itu kini terletak di kawasan yang pesat membangun dan diharap dapat menjadi platform untuk nama Azirun bergerak lebih ke hadapan.

Kongsinya, konsep yang diketengahkan kali ini tidak hanya memberi fokus kepada pakaian pengantin semata-mata.

Pada masa sama, pihaknya juga menawarkan pakaian baju lelaki dan perempuan berkonsep muslimah, pejabat, sedia pakai, kasual termasuk tempahan sut untuk majlis keraian tertentu.

Azirun menambah, variasi rangkaian produk tersebut bertujuan membantu semua orang menikmati pakaian rekaannya pada harga yang sangat minimum.

Walaupun ia boleh didapati pada harga yang murah, Azirun menitikberatkan pemilihan tekstil serta potongan siluet bagi memenuhi kehendak pelanggan.

Pengalaman yang dimiliki Azirun bukan calang-calang. Dia menghasilkan pakaian rasmi untuk program pertandingan seperti Tilawah al-Quran dan program realiti televisyen, Adik-adikku yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia(RTM).

Azirun juga menerima tawaran menjahit pakaian untuk pelakon filem Anna and the King pada tahun 1999 yang diadakan di sekitar Malaysia.

Bahkan, nama Azirun juga terkenal dalam kalangan selebriti tempatan dan dipakai untuk acara tertentu.

Tidak cukup dengan itu, kumpulan pemuzik bergenre pop rock, Drama Band turut menggayakan busana sut eksklusif yang dihasilkan Azirun semasa pertandingan separuh akhir Muzik Muzik 32 baru-baru ini.

Ledakan fesyen muslimah kini diakui Azirun sedikit sebanyak turut menyumbang kepada perubahan konsep yang dibawa nama AR by Azirun Ramly selama ini.

Sungguhpun demikian, menghasilkan busana fesyen Muslimah yang sedang cuba diketengahkan Azirun dikatakan mempunyai cabaran tersendiri.

Katanya, fesyen muslimah memerlukan pengamatan menyeluruh mengenai karakter individu mengikut syarak selain subjektif untuk dibicarakan.

“Alhamdulillah, mentaliti masyarakat kita mengenai fesyen muslimah kini semakin terbuka maka ia boleh diketengahkan lebih jauh.

“Konsep yang kita buat masih ada cetusan muslimah yang didatangkan dalam busana tiga lapis,” jelasnya.

Sewa pakaian


ANTARA rekaan gaun dengan potongan unik dan kreatif yang dihasilkan Azirun.


Menyedari persaingan yang kuat dalam kalangan jenama fesyen tempatan yang semakin meningkat naik, Azirun tidak sedikit pun gusar, sebaliknya menyifatkan ia sebagai suatu perkara positif kepada industri.

Katanya, persaingan tersebut sangat baik untuk menggerakkan fesyen tanah air, sekali gus menjadi platform untuk nama AR by Azirun Ramly bergerak lebih maju.

Pakaian yang dijual di butik AR by Azirun Ramly bermula dari RM100 bagi pakaian sedia pakai, manakala bagi sut pula boleh didapati sekitar harga RM800 bergantung pada jenis material dan rekaan.

Pelanggan yang ingin merasai sentuhan pakaian pengantin Azirun pula boleh menyewa pakaian tersebut pada harga bermula RM1,500.

Azirun bercita-cita menjadikan AR by Azirun Ramli bukan dikenali sekadar namanya tetapi sebagai sebuah jenama fesyen.

Katanya, dia mahu melihat jenama bumiputera dapat berdiri sekurang-kurangnya sebaris dengan jenama fesyen seperti Zara dan H&M sehingga terkenal di pentas antarabangsa.