Butik pertama Bestseller di Suria KLCC


Bestseller membawakan tiga jenama fesyen popular seperti Jack & Jones, Vero Moda dan Only ke pasaran Malaysia.


Sebuah syarikat fesyen antarabangsa dari Denmark, Bestseller membawakan beberapa rangkaian jenama di bawah naungannya ke pasaran Malaysia.

Ia dilakukan menerusi pelancaran butik pertamanya di pusat beli-belah Suria KLCC baru-baru ini.

Syarikat Bestseller tidak asing lagi sebagai salah sebuah pemborong pakaian terbesar di China.

Ia telah beroperasi di 8,000 kedai di bandar-bandar besar di negara tersebut sejak 25 tahun lalu.

Rentetan itu, Bestseller mahu menembusi pasaran di Asia Tenggara menerusi pelancaran kedai pertamanya di Malaysia.

Menurut Pengasas Bersama Bestseller, Dan Friis, syarikatnya melihat pasaran Malaysia berpotensi besar dalam mengembangkan perusahaan tersebut khususnya dalam rantau Asia Tenggara.

“Sebab utama kami membawa jenama ini ke Malaysia adalah disebabkan sektor pemborongan pakaian dan kesedaran masyarakat mengenai perihal fesyen di sini.

“Selain itu, permintaan pasaran dan infrastruktur e-Dagang yang kemas turut menjadi kunci kepada perkembangan perniagaan ini.

“Lebih menarik lagi, kepelbagaian budaya dan karakter metropolitan rakyat Malaysia menjadikannya sebuah pusat strategik dalam memperkenalkan jenama fesyen Bestseller,” katanya dalam satu kenyataan akhbar baru-baru ini.

Tiga jenama popular Bestseller iaitu Jack & Jones, Vero Moda dan Only direka khas sebagai memenuhi permintaan fesyen estetik.

Ketiga-tiga jenama tersebut ditawarkan di kedai Bestseller yang terletak di pusat beli-belah Suria KLCC bermula bulan ini.

Selain pelancaran butik, Bestseller turut merancang untuk membina platform e-Dagang yang kukuh.

Kumpulan tersebut menjanjikan satu pengalaman membeli-belah baharu serba interaktif dalam talian yang turut menyediakan seleksi rangkaian produk menyeluruh.