MDR FC juara Liga Anak Raub


Pasukan MDR FC merupakan juara sulung LIga Anak Raub yang berakhir baru-baru ini.


Bola sepak cukup sinonim sebagai sukan paling popular di negara ini apabila mempunyai jutaan peminat dari segenap lapisan masyarakat.

Hal ini terbukti apabila setiap kali perlawanan besar bola sepak berlangsung, tiket jualan tidak pernah mencukupi sehingga siaran langsung melalui skrin besar turut diadakan di kawasan-kawasan tertentu.

Lantaran itu, Kelab Anak Raub telah menggunakan pendekatan tersebut dengan menganjurkan Liga Anak Raub bagi memeriahkan suasana serta menghidupkan lagi sukan bola sepak di daerah berkenaan.

Menurut Pengerusi Kelab Anak Raub, Fadzli Mohamad Kamal, sejak penganjuran liga tersebut, sukan bola sepak di daerah Raub semakin ‘hidup’, bukan sahaja melalui pertarungan antara pasukan yang bertanding, malah pelbagai perlawanan persahabatan turut diadakan.

“Sejak penganjuran ini diuar-uarkan, pihak kami telah menerima banyak permohonan yang menyatakan minat untuk turut serta. Bagaimanapun, kami mengehadkan hanya 16 pasukan yang boleh menyertai pertandingan ini.

“Bukan sekadar peserta, bahkan kehadiran ramai penyokong yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat termasuklah daerah-daerah lain turut menceriakan lagi setiap perlawanan yang berlangsung.

Fenomena


Antara aksi menarik yang dirakam lensa foto.


“Fenomena kemeriahan sebegini telah lama tidak dapat dirasai, malah Exco kerajaan negeri Pahang, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin turut mengakui liga yang dianjurkan merupakan antara kejohanan paling berjaya pernah diadakan di daerah ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di padang Majlis Daerah Raub (MDR) baru-baru ini.

Liga Anak Raub 2017 yang berlangsung selama tiga bulan sejak 16 Julai lalu telah menutup tirai pada hujung Oktober lalu di Padang MDR.

Jelasnya lagi, sambutan menggalakkan tersebut sedikit sebanyak dibantu dengan beberapa kelainan yang cuba ditonjolkan seperti perarakan masuk hari pelancaran, ganjaran hadiah lumayan, ulasan dan temu bual serta pengiktirafan kepada pemain terbaik setiap perlawanan.

“Pada perlawanan akhir liga, MDR FC dan Dong FC telah bersaing sengit yang menyaksikan MDR FC menang dengan keputusan tiga gol berbalas satu.

“Dengan kemenangan itu, MDR FC berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM7,000 berserta piala pusingan dan pingat, manakala Dong FC menerima ganjaran RM4,500 selaku naib juara,” katanya.

Sejajar dengan matlamat penganjuran, liga tersebut juga telah berjaya membuka peluang kepada para pemain bola sepak di daerah Raub untuk menyerlahkan bakat masing-masing dan seterusnya berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

“Ia kerana ramai pemain daripada pasukan-pasukan yang bertanding terpilih untuk mewakili pasukan Raub FA bagi menghadapi kejohanan Piala KDYMM Sultan Pahang dan Liga Bola Sepak Rakyat baru-baru ini.

Tempa nama


Liga Anak Raub diadakan bagi menghidupkan sukan bola sepak di Raub, Pahang.


“Saya turut yakin akan ada pemain tersebut berjaya menempa nama pada peringkat lebih tinggi termasuk mewakili negeri dan negara seperti salah seorang anak jati Raub yang menjadi pemain pasukan Liga Super Pahang 2017 iaitu Ahmad Syamim Yahya.

Sementara itu, Pengurus MDR FC, Ahmad Safri Zainudin turut menyuarakan keterujaan setelah pasukannya berjaya bergelar juara sulung liga tersebut.

“Saya yakin kemenangan pasukan kami pada hari ini adalah disebabkan sokongan dan komitmen penuh yang diberikan oleh para pemain bagi menghadapi setiap perlawanan.

“Kejuaraan sangat berbaloi dengan setiap keringat dan penat lelah yang telah disumbangkan pemaim sama ada semasa latihan atau perlawanan sebenar,” ujarnya.

Ahmad Safri juga menyokong sekiranya Liga Anak Raub dijadikan sebagai satu acara tahunan di daerah tersebut memandangkan sambutan luar biasa yang diterima daripada masyarakat setempat, selain bertujuan mencungkil bakat yang terpendam.