29/05/2011

Rentap Futsal cipta sejarah

Rentap Futsal cipta sejarah

Oleh SHANIKA ABDULLATIB dan MOHD. YUNUS YAKKUB
[email protected]


Najib (dua dari kiri) menyampaikan sijil MBOR kepada Mohamed Hashim bagi mengiktiraf kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 sebagai acara futsal terbesar di Putrajaya semalam.

MESKIPUN terpaksa melalui pelbagai rintangan dan halangan, kejohanan Rentap Fustal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 tetap berada dalam kelas tersendiri.

Edisi kedua kejohanan itu diiktiraf sebagai acara futsal paling besar yang pernah diadakan di negara ini dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) semalam.

Kejohanan itu juga mencatat rekod bilangan peserta paling ramai dalam sejarah penganjuran acara futsal di satu tempat iaitu sebanyak 16,010 peserta selama tiga hari sepanjang pertandingan itu dijalankan.

Di samping itu, penganjuran kejohanan Rentap Futsal ini juga memecahkan rekod penyertaan pasukan terbanyak yang pernah dicatat iaitu 1,601 pasukan yang datang dari seluruh Malaysia.

Pada kejohanan tersebut, lima kategori dipertandingkan iaitu Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Lelaki Bawah 18 Tahun, Lelaki Bawah 12 Tahun, Larut Malam serta kategori yang baharu diperkenalkan iaitu Rentap Superstar.

Wakil MBOR, Myra Dzaman yang ditemui Kosmo! berkata, rekod yang dicatat itu mengatasi pencapaian terdahulu yang mengambil masa selama tiga bulan dan diadakan di seluruh Malaysia.

Plak rekod MBOR tersebut ditandatangani oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan disaksikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin. Perdana Menteri melawat Kompleks Futsal 1Malaysia Putrajaya petang semalam.

Turut menyaksikan detik bersejarah itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin dan Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi.

Kosmo! mula memperkenalkan Rentap Futsal pada tahun lalu selepas mendapat kepercayaan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menghimpunkan belia di Malaysia dalam satu kejohanan futsal sempena Hari Belia Negara.